Mayat Wanita Hamil & Ibu Mertua Lumpuh Ditemui Berpelukan Dalam Banjir Di Kedah

5 Jul 2022 • 3:44 PM MYT
Lobak Merah
Lobak Merah

Laman socialtainment #1 di Malaysia. Dapatkan isu-isu terkini setiap hari.

image is not available

Hujan lebat semalam menyebabkan banjir di sesetengah kawasan di Kedah, antara yang paling teruk terkesan adalah daerah Baling, di mana hampir 20 buah rumah mengalami kerosakan.

Paling menyayat hati ialah semalam gempar berita 3 sekeluarga hilang dipercayai dibawa kepala air ketika banjir.

Hari ini, menurut laporan Astro AWANI mayat wanita hamil yang disahkan hilang susulan kejadian banjir Kampung Iboi, Kupang semalam telah ditemui dalam keadaan sedang berpelukan dengan ibu mertuanya yang lumpuh menghidap penyakit strok.

image is not available

Menurut Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Sayani Saadon, kedua-dua mangsa ditemui oleh pihak bomba di bawah timbunan pokok, 100 meter dari pekarangan rumah mereka yang juga hanyut oleh arus deras.

“Apabila dikeluarkan, ada seorang mangsa di situ. Mangsa pertama adalah wanita mengandung Nurul Anis, dan di bawah mangsa pertama tadi ditemui mangsa kedua.

Kedua-dua mangsa ditemui berpelukan, di lokasi sama dalam tempoh sama. Lima belas minit kemudian, mangsa kedua berjaya dikeluarkan selepas mangsa pertama dikeluarkan,” katanya.

Pihak bomba menjumpai mereka terperangkap di bawah bongkah kayu dan berkemungkinan mangsa hanyut bersama kayu-kayu tersebut.

Salam takziah diucapkan kepada keluarga mangsa.

image is not available

Artikel ini diterbitkan dari Lobak Merah.