
PETALING JAYA: Malayan Banking Bhd. (Maybank) berdepan separuh kedua 2026 yang mencabar bagi membuktikan kelemahan pulangan atas ekuiti (ROE) pada separuh pertama tahun ini bersifat kitaran dan bukannya struktur, menurut CIMB Securities Sdn. Bhd.
ROE Maybank berada pada 11.6 peratus pada separuh pertama 2026, lebih rendah daripada sasaran 11.8 peratus, meskipun keuntungan bersih teras kembali meningkat pada suku kedua.
CIMB Securities berkata, pelaksanaan strategi pada separuh kedua tahun ini penting bagi memulihkan keyakinan terhadap sasaran ROE jangka sederhana sebanyak 13 hingga 14 peratus di bawah strategi ROAR30.
Katanya, antara keutamaan utama Maybank adalah mengekalkan margin faedah bersih (NIM) pada paras atas julat panduan 2.05 hingga 2.10 peratus menerusi pertumbuhan akaun semasa dan simpanan (CASA), pengoptimuman campuran pendanaan serta pelarasan harga aset secara terpilih.
“Bank itu juga perlu terus berdisiplin dalam mengimbangi margin dengan pertumbuhan aset.
“Maybank turut perlu mengawal kemerosotan kualiti aset, khususnya dalam segmen runcit, automotif dan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) di Malaysia.
“Bank berkenaan juga perlu mengekalkan kos kredit sekitar 20 mata asas serta perlindungan kerugian pinjaman melebihi 100 peratus.
“Maybank juga dijangka mengekalkan nisbah kos kepada pendapatan sekitar 49 peratus walaupun meningkatkan pelaburan dalam teknologi dan kecerdasan buatan (AI),” katanya dalam nota penyelidikan.
Menurut CIMB Securities, Maybank perlu mengoptimumkan modal dan aset berwajaran risiko susulan transaksi Etiqa-Maybank Ageas Holdings Bhd. termasuk melalui penyaluran dividen daripada anak syarikat kepada syarikat induk serta penggunaan pelan pelaburan semula dividen secara berhati-hati.
“Pelaksanaan dalam semua aspek ini penting bagi Maybank merapatkan jurang kepada sasaran ROE 11.8 peratus, di samping mengekalkan profil dividen yang menarik, dengan hasil dividen bagi tahun kewangan 2026 hingga 2027 kini pada 6.4 hingga 6.7 peratus,” katanya.
CIMB Securities mengekalkan saranan ‘pegang’ terhadap saham Maybank dengan harga sasaran (TP) tidak berubah pada RM10.50.
Sementara itu, Hong Leong Investment Bank Bhd (HLIB) menjangkakan NIM Maybank terus berdepan tekanan pada separuh kedua 2026 berikutan persaingan deposit yang semakin sengit dan peningkatan kos pendanaan di Malaysia.
Katanya, tekanan turut berpunca daripada pelarasan semula harga aset-liabiliti yang kurang menggalakkan di Singapura dan Indonesia.
“Keperluan pendanaan tambahan bagi pengambilalihan Etiqa-Maybank Ageas turut berpotensi menambah tekanan, walaupun pertumbuhan pinjaman yang lebih kukuh mungkin memberikan sedikit pengimbangan,” katanya. – UTUSAN
The post Maybank berdepan separuh kedua 2026 mencabar appeared first on Utusan Malaysia.

