hamden08/09/2026 - 15:28 Oleh HAMDEN RAMLI editor@dagangnews.com KUALA LUMPUR 8 Sept - Malayan Banking Bhd (Maybank) menerima kelulusan Bank Negara Malaysia (BNM) pada 1 September 2026 untuk mengambil alih baki 30.95% pegangan dalam syarikat induk Etiqa daripada syarikat insurans Belgium, Ageas SA, pada harga RM4.83 bilion.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, Maybank berkata, susulan kelulusan itu pihaknya telah memeterai perjanjian jual beli saham tanpa syarat dengan Ageas Insurance International NV dan Ageas SA/NV bagi pengambilalihan baki kepentingan dalam Maybank Ageas Holdings Bhd (MAHB).
Urus niaga itu, yang pertama kali diumumkan pada 3 Ogos lalu, akan dibiayai sepenuhnya menerusi dana yang dijana secara dalaman oleh Maybank.
Selepas pengambilalihan selesai, Maybank akan memiliki 100% MAHB, sekali gus memberikan kumpulan perbankan itu kawalan penuh terhadap perniagaan insurans dan takaful Etiqa di Malaysia dan Singapura.
MAHB kini merupakan anak syarikat Maybank dengan pegangan sebanyak 69.05% menerusi Etiqa International Holdings Sdn Bhd (EIHSB).
MAHB berfungsi sebagai syarikat pegangan bagi perniagaan insurans dan takaful Etiqa di Malaysia dan Singapura, yang menawarkan produk insurans hayat dan am konvensional serta produk takaful keluarga dan am melalui pelbagai saluran pengedaran.
Maybank berkata pemilikan penuh MAHB akan memberikan fleksibiliti strategik lebih besar kepada kumpulan untuk mempercepat inovasi produk, memperluas penembusan bankasurans, mengembangkan tawaran takaful serta meningkatkan kecekapan modal dan operasi dalam perniagaan insurans dan takaful.
Harga pembelian RM4.83 bilion itu, selepas mengambil kira dividen RM800 juta yang akan dibayar oleh MAHB pada tarikh penyelesaian, mewakili penilaian sebanyak 1.98 kali nilai buku dan 15.3 kali pendapatan.
Di bawah urus niaga tersebut, Ageas akan menerima RM248 juta daripada dividen berkenaan, manakala Maybank menerusi EIHSB akan menerima RM552 juta. Urus niaga itu dijangka diselesaikan pada 11 September 2026.
Selepas penyelesaian, aset bersih sesaham Maybank dijangka menurun kepada 7.19 sen daripada 7.73 sen pada akhir Disember 2025.
Jumlah pinjaman pula dijangka meningkat kepada RM45.54 bilion daripada RM44.24 bilion, manakala nisbah gearing meningkat kepada 0.52 kali berbanding 0.47 kali sebelumnya.
Pengambilalihan itu merupakan sebahagian daripada strategi Maybank untuk memperkukuh perniagaan insurans dan takaful Etiqa, termasuk memperdalam penembusan pelanggan, mempercepat pengembangan serantau serta meningkatkan kecekapan pengurusan modal. - DagangNews.com





