Maybank IB berhati-hati optimis terhadap prospek Pintaras Jaya bagi FY23 kesan cabaran berterusan dalam meningkatkan buku pesanan

Business & Finance
28 Nov 2023 • 12:53 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Maybank IB berhati-hati optimis terhadap prospek Pintaras Jaya bagi FY23 kesan cabaran berterusan dalam meningkatkan buku pesanan

diyana

28/11/2023 - 12:53

KUALA LUMPUR 28 Nov - Maybank Investment Bank (Maybank IB) berhati-hati optimis terhadap prospek Pintaras Jaya Berhad bagi tahun kewangan berakhir 30 Jun 2024 (FY24) berikutan ia kekal berdepan cabaran dalam meningkatkan buku pesanan.

Firma penyeldikan itu berkata buku pesanan tertunggak syarikat pembinaan itu berjumlah RM243 juta pada akhir September 2023, berbanding RM230 juta pada akhir Jun 2023, membayangkan kontrak baharu sebanyak RM71 juta dalam suku pertama tahun kewangan 2024 (1QFY24).

“Pengurusan menyasarkan lebih banyak kemenangan pekerjaan untuk menambah baik penggunaan kapasiti pembinaannya.

“Bagi operasinya di Malaysia, kumpulan itu melihat beberapa pemulihan projek perindustrian dan kediaman sektor swasta daripada aktiviti tendernya, manakala bagi operasi di Singapura, permintaan untuk kerja-kerja cerucuk dijangka meningkat apabila pelancaran projek sektor awam semakin pantas,” katanya dalam nota penyelidikan hari ini.

Maybank IB mengekalkan unjuran pendapatan Pintaras Jaya buat masa ini dengan saranan ‘beli’ dan harga sasaran (TP) RM1.70 sen sesaham.

Menurut firma itu, cabaran utama untuk kumpulan itu kekal dalam penambahan buku pesanan, di mana ia menyasarkan RM300 juta pada FY24.

Dari sudut positif, kunci kira-kira kumpulan kekal dalam tunai bersih sebanyak RM103 juta (62 sen sesaham) pada akhir Sep 2023.

Mengulas mengenai prestasi Pintaras Jaya pada 1QFY24, Maybank IB berkata keuntungan bersih teras kumpulan berjumlah RM500,000 membentuk 8% daripada anggaran firma bagi FY24 sebanyak RM6 juta, di mana ia telah menjangkakan kenaikan RM1 juta untuk suku tersebut, namun meleset daripada jangkaan kerana kerugian kecil pada operasi pembinaan.

Pendapatan kumpulan bagi 1QFY24 bernilai RM70 juta, turun mendadak 31% YoY disebabkan oleh operasi pembinaan berikutan pendapatan pembuatan mendatar.

Jelasnya, operasi pembinaan kerugian disebabkan oleh kurang projek diperoleh dan permulaan yang perlahan untuk projek baharu.

“Operasi pembinaan mencatatkan kerugian sebelum cukai sebanyak RM1 juta, disebabkan pembalikan peruntukan untuk kos pembetulan sebanyak RM3.5 juta daripada projek yang telah siap.

“Untuk operasi pembuatan, keuntungan sebelum cukai menaik semula 6% YoY walaupun hasil mendatar disebabkan kos susut nilai untuk barisan percetakan baharu,” tambahnya.

Pada rehat tengah hari ini, saham Pintaras Jaya kekal pada RM1.57 dengan permodalan pasaran berjumlah RM260.4 juta. - DagangNews.com