Maybank IB jangka BNM kekalkan OPR 3% sehingga 2024

Business & Finance
3 Nov 2023 • 10:49 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Maybank IB jangka BNM kekalkan OPR 3% sehingga 2024

diyana

03/11/2023 - 10:49

KUALA LUMPUR 3 Nov - Maybank Investment Bank (Maybank IB) menjangkakan kadar dasar semalaman (OPR) kekal 3% pada 2024 memandangkan ia kini mengunjurkan pertumbuhan keluaran dalam negara kasar (KDNK) meningkat sederhana kepada 4.4% dan kadar inflasi naik kepada 3%.

Ini ditambah dengan Rizab Persekutuan Amerika Syarikat (Fed AS) yang menetapkan pendirian ‘tahan lebih lama’ dari Disember 2023 hingga suku ketiga 2024 selepas mengekalkan sasaran kadar dana Fed dari 5.25% hingga 5.50% dalam mesyuarat Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan (FOMC).

Firma penyelidikan itu berkata, OPR tidak berubah berikutan risiko pertumbuhan dan inflasi seimbang, manakala langkah lain akan diambil untuk memperkukuhkan ringgit.

“Pernyataan dasar monetari (MPS) terkini menunjukkan BNM (Bank Negara Malaysia) melihat risiko menaik dan menurun kepada kedua-dua pertumbuhan dan inflasi sebagai seimbang, menjelaskan keputusan untuk mengekalkan OPR pada 3%,” katanya dalam nota penyelidikan hari ini.

Firma itu berkata MPS mengekalkan penilaian berterusan pertumbuhan global, yang bagaimanapun dibebani oleh inflasi dan kadar faedah yang lebih tinggi, serta risiko penurunan seperti risiko geopolitik dan keadaan kewangan lebih ketat.

Tambahnya, MPS turut menekankan tanda-tanda awal pemulihan dan peningkatan sektor elektrik dan elektronik (E&E) dalam ekonomi China walaupun pasaran hartanah yang lemah.

Menurut firma itu, pertembungan cabaran dan aspek positif global ini menyebabkan ekonomi domestik mencatat pertumbuhan satu digit rendah daripada 2.9% YoY pada suku kedua 2023 kepada 3.3% YoY pada suku ketiga 2023 (anggaran awal).

“Melangkah ke hadapan, BNM melihat imbangan risiko yang dihadapi ekonomi Malaysia adalah seimbang antara peningkatan permintaan domestik yang berdaya tahan (terutamanya kerana pekerjaan dan pertumbuhan gaji menyokong perbelanjaan pengguna); pemulihan dalam industri E&E dan pelancongan; kemajuan dalam projek infrastruktur sedia ada dan baharu berbilang tahun; dan pelaksanaan inisiatif dan projek pemangkin di bawah pelbagai pelan induk negara yang diumumkan baru-baru ini, menyokong aktiviti pelaburan berbanding risiko penurunan permintaan luar dan pengeluaran komoditi,” tambahnya.

Berkenaan ringgit pula, Maybank IB berkata BNM dalam MPS telah menyatakan bahawa ia akan menguruskan risiko turun naik yang meningkat, termasuk menyediakan kecairan, untuk memastikan pasaran pertukaran mata wang asing domestik berfungsi dengan teratur.

“Kami mentafsir ini sebagai menunjukkan OPR bukanlah ‘alat’ untuk menangani kelemahan ringgit semasa, dan langkah lain akan digunakan.

“Selain daripada campur tangan pasaran FX (pertukaran mata wang asing) melalui penggunaan rizab luaran dan swap FX untuk mengurangkan pergerakan dan turun naik ringgit berlebihan, kami juga mengambil perhatian tentang kenaikan beransur-ansur dalam 3M KLIBOR (Kadar Tawaran Antara Bank Kuala Lumpur selama tiga bulan) akhir-akhir ini, yang telah berlaku sebelum ini – walaupun lebih mendadak – pada 1H Julai 2023 apabila ringgit turut mengalami tekanan berbanding dolar AS,” tambahnya. - DagangNews.com