Maybank IB jangka pasaran saham Malaysia lebih positif pada 2026, KLCI boleh capai 1,850 mata

LocalBusiness & Finance
13 Jan 2026 • 11:38 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Maybank IB jangka pasaran saham Malaysia lebih positif pada 2026, KLCI boleh capai 1,850 mata image is not available liza13/01/2026 - 11:38 Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 13 Jan – Maybank Investment Bank menjangkakan pasaran saham Malaysia bagi tahun 2026 akan lebih positif berbanding 2025 dengan pertumbuhan ekonomi yang stabil, permintaan domestik kukuh, serta pelaburan kerajaan dan swasta yang semakin rancak. 

 

Firma penyelidikan itu berkata 2026 akan menampakkan keberhasilan apabila projek-projek kerajaan dan reformasi yang diumumkan sebelum ini mula menunjukkan kesan nyata. 

 

“Aliran masuk pelaburan asing kekal kukuh, perniagaan meningkatkan perbelanjaan modal (capex), manakala isi rumah mendapat manfaat daripada gaji stabil dan pekerjaan mantap yang menyokong perbelanjaan pengguna,” kata Maybank IB dalam nota kajiannya.

 

Pertumbuhan Ekonomi & Dasar Monetari

Firma itu menjangkakan ekonomi Malaysia tumbuh 4.5% pada 2026 berbanding 4.7% pada 2025. 

 

“Inflasi dijangka kekal rendah pada 1.7% yang membolehkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) 2.75% dikekalkan, sekali gus menyokong perbelanjaan dan pelaburan domestik,” katanya.

 

Lima Tema Utama Pelaburan 2026

Maybank IB menekankan lima tema utama pelaburan bagi 2026. 

 

1.    Infra & Pembangunan: melalui projek Rancangan Malaysia Ke-13 seperti jalan raya, taman perindustrian, pusat data dan pelabuhan dijangka menyokong sektor pembinaan dan logistik. 

 

2.    Teknologi & Transformasi Industri: Malaysia kekal menarik pelaburan semikonduktor, reka bentuk litar bersepadu, automasi dan teknologi digital. 

 

3.    Tenaga Hijau & Transisi: Dengan projek solar, grid moden, kenderaan elektrik dan logam hijau memberi potensi pulangan positif, termasuk kepada Tenaga Nasional, Solarvest dan Press Metal.

 

4.    Permintaan Domestik Kukuh: khususnya dalam sektor pengguna, kesihatan, REIT dan pelancongan, dijangka meningkat terutamanya dengan penganjuran Tahun Melawat Malaysia 2026.

 

5.    Koridor Pembangunan Negeri: Seperti JS-SEZ di Johor serta inisiatif negeri lain, akan menarik pelaburan dan pembangunan industri tambahan.

 

Sektor Positif & Saham Pilihan

Maybank IB mengekalkan pandangan positif untuk sektor Bank, Pembinaan, Pengguna, Kesihatan, dan Tenaga Boleh Diperbaharui.

 

Sektor neutral termasuk Automotif, Telekomunikasi, Hartanah dan Industri sarung tangan getah, manakala sektor Petrochemical dijangka negatif. 

 

Saham pilihan Maybank IB untuk 2026 merangkumi Tenaga, CIMB, Gamuda, Eco-Shop, Solarvest, MN Holdings, Westports dan IHH Healthcare. 

 

Bank dijangka menjadi penyokong utama pasaran kerana memainkan peranan sebagai pembiaya utama projek dan pelaburan ini.

 

Sasaran KLCI 2026

Maybank IB menetapkan sasaran KLCI 2026 pada 1,730 mata dengan potensi naik sehingga 1,780 mata bergantung kepada prestasi bank besar, TNB dan Gamuda.

 

Unjuran paling lemah dijangka 1,550 mata manakala unjuran optimis boleh mencecah 1,850 mata. 

 

Pelabur disarankan memberi fokus kepada saham yang mendapat manfaat daripada projek kerajaan, pembangunan negeri, permintaan domestik, tenaga hijau dan teknologi, dengan bank sebagai tulang belakang kewangan. - DagangNews.com

Terkini standard