Saham pembekal mainan Semico dapat sambutan hangat di Pasaran ACE, dibuka premium 80%

LocalBusiness & Finance
13 Jan 2026 • 10:47 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Saham pembekal mainan Semico dapat sambutan hangat di Pasaran ACE, dibuka premium 80% image is not available liza13/01/2026 - 10:47 Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 13 Jan – Semico Capital Bhd mencipta kejutan pada penampilan pertamanya di Pasaran ACE Bursa Malaysia apabila sahamnya dibuka premium 45 sen atau 80% lebih tinggi daripada harga tawaran awam permulaannya (IPO) sebanyak 25 sen.

 

Ini adalah IPO pertama pada tahun 2026 yang menjadi pembuka tirai bagi pasaran saham tempatan dan berjaya menarik perhatian pelabur sejak sesi dagangan dibuka.

 

Saham syarikat pembekal mainan dan mesin arked itu mencecah 46 sen dalam dagangan awal pagi dengan kira-kira 39.6 juta unit saham bertukar tangan.

 

IPO ini juga mencatatkan sambutan luar biasa apabila terlebih langgan 28.1 kali, menunjukkan keyakinan pelabur yang kukuh terhadap prospek perniagaan syarikat.

 

Semico akan menggunakan hasil IPO sebanyak RM23.2 juta untuk memperluaskan operasi perniagaan. 

 

Daripada jumlah itu, RM8.5 juta akan digunakan untuk pembelian 188 mesin arked dan permainan baharu, RM2.1 juta untuk menggantikan 55 mesin lama dan RM2.5 juta untuk menambah koleksi mainan dan barangan koleksi. 

 

Sementara itu, RM1.6 juta diperuntukkan untuk membayar pinjaman bank, RM4 juta untuk modal kerja dan baki RM4.5 juta bagi menampung kos penyenaraian.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Semico Capital Tai Lee Chuen berkata kejayaan penyenaraian ini menandakan satu mercu tanda penting bagi syarikat. 

 

“Industri hiburan keluarga terus berkembang selari dengan gaya hidup pengguna yang menekankan pengalaman rekreasi bersama, dan Semico Capital bersedia memanfaatkan peluang ini untuk pertumbuhan masa hadapan,” katanya dalam satu kenyataan.

 

Semico Capital kini memiliki lebih 650 mesin arked dan permainan di seluruh negara dan rancangan pengembangan ini dijangka meningkatkan penglibatan pelanggan serta memastikan syarikat terus menawarkan produk yang relevan dan diminati pasaran.

 

Penyenaraian ini dijalankan dengan Affin Hwang Investment Bank Berhad sebagai Penasihat Utama, Penaja, Ejen Penempatan Tunggal dan Penjamin Tunggal bagi IPO tersebut. - DagangNews.com

Terkini standard