Maybank IB kekalkan TM sebagai pilihan utama sektor telekomunikasi disokong potensi dividen tinggi, projek pusat data

LocalTechnology
5 Jan 2026 • 10:54 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Maybank IB kekalkan TM sebagai pilihan utama sektor telekomunikasi disokong potensi dividen tinggi, projek pusat data image is not available liza05/01/2026 - 10:54 Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 5 Jan – Sektor telekomunikasi Malaysia dijangka terus berdepan prestasi bercampur pada 2026 dengan potensi peningkatan dividen dalam segmen talian tetap mengimbangi risiko penurunan pendapatan dalam segmen mudah alih, menurut Maybank Investment Bank Research.

 

Firma penyelidikan itu mengekalkan saranan Neutral terhadap sektor berkenaan dengan Telekom Malaysia Bhd (TM) sebagai pilihan utama, disokong pendedahan kepada tema pusat data serta potensi kenaikan dividen susulan pengurusan modal yang lebih proaktif.

 

Maybank IB berkata ketidaktentuan berkaitan 5G dijangka kekal sebagai faktor tekanan kepada syarikat telekomunikasi mudah alih, khususnya selepas Kementerian Kewangan Inc (MOF Inc) melaksanakan opsyen jualan pegangan dalam Digital Nasional Bhd (DNB) pada Disember 2025.

 

“Selepas transaksi itu, CelcomDigi, Maxis dan YTL Power akan memiliki kepentingan sebagai syarikat bersekutu dan kerugian DNB perlu diambil kira melalui perakaunan ekuiti mereka,” kata Maybank IB dalam nota kajiannya.

 

DNB mencatatkan kerugian bersih RM1.2 bilion bagi FY2024 dan Maybank IBG menganggarkan setiap syarikat telekomunikasi berpotensi menanggung kerugian bersekutu sekitar RM100 juta hingga RM200 juta setahun, bergantung kepada kadar penurunan kerugian dan kenaikan yuran akses 5G. 

 

Walaupun kerugian tersebut belum dimasukkan ke dalam unjuran pendapatan, ia dilihat berpotensi memberi tekanan kepada pendapatan dan dividen syarikat mudah alih.

 

Selain itu, firma tersebut berkata Maxis dijangka mengekalkan dividen 4 sen sesaham setiap suku tahun manakala CelcomDigi terus mengamalkan kadar pembayaran hampir 100 peratus berikutan kedudukan keuntungan terkumpul yang terhad. 

 

Bagaimanapun, Maybank IBG berpendapat bahawa manifestasi sinergi penggabungan secara berperingkat dapat membantu mengurangkan sebahagian kesan negatif daripada kerugian DNB.

 

Dalam segmen talian tetap, firma itu melihat ruang peningkatan dividen lebih ketara berikutan penurunan perbelanjaan modal (capex) apabila peluasan gentian optik semakin perlahan. 

 

“Persaingan dalam jalur lebar gentian kekal tinggi dengan kadar penembusan isi rumah menghampiri 60 peratus pada 2025, sekali gus menunjukkan pertumbuhan pelanggan semakin mendatar.

 

“Walaupun persaingan sengit berterusan, terutamanya apabila pemain mudah alih menggunakan pakej jalur lebar tetap sebagai strategi mengekalkan pelanggan, TM dan TIME dotCom setakat ini berjaya mempertahankan kedudukan dalam pemerolehan pelanggan. 

 

“Penjanaan aliran tunai bebas (FCF) yang kukuh memberi ruang kepada kedua-dua syarikat untuk lebih agresif dalam pengurusan modal,” kata firma tersebut.

 

image is not available

 

Maybank IBG menganggarkan TM mampu menjana aliran tunai bebas perniagaan (FCF) sekitar RM1.7 bilion hingga RM1.8 bilion setahun. 

 

“Dengan dasar pembayaran dividen semasa antara 40 hingga 60 peratus, terdapat ruang untuk kenaikan dividen, dan setiap peningkatan 20 peratus dalam kadar pembayaran berpotensi menaikkan hasil dividen TM sekitar 1.2 mata peratusan.

 

“Bagi TIME dotCom, syarikat itu berada dalam kedudukan tunai bersih, sebahagiannya disokong oleh pelupusan 70 peratus kepentingan dalam entiti pusat data AIMS pada 2023. 

 

“Pengurusan baru-baru ini memberi isyarat pendekatan lebih proaktif terhadap pengurusan modal dan kami menganggarkan TIME mampu mengekalkan kadar pembayaran sehingga 200 peratus dalam tempoh tiga tahun akan datang sebelum beralih kepada kedudukan hutang bersih,” kata Maybank IB.

 

Dari sudut pertumbuhan, Maybank IBG menjangkakan keuntungan bersih teras sektor telekomunikasi meningkat 12 peratus pada FY2026, selepas susut 3 peratus pada FY2025 akibat penyahgabungan dan ketiadaan kredit cukai berulang. 

 

CelcomDigi diramalkan mencatat pertumbuhan keuntungan tertinggi pada FY2026, didorong oleh penzahiran awal sinergi penggabungan, dengan kesan penuh dijangka hanya dilihat pada FY2027.

 

Dalam perkembangan berkaitan pusat data, TM dan TIME dilihat berada pada kedudukan strategik berikutan pemilikan aset gentian darat dan kabel dasar laut. 

 

TM juga mula menceburi pembangunan pusat data berskala besar menerusi usaha sama dengan Nxera, cabang pusat data Singtel, di Iskandar Puteri, Johor, dengan fasa pertama berkapasiti 64MW disasarkan siap menjelang akhir 2026.

 

Secara keseluruhan, Maybank IBG mengekalkan pandangan berhati-hati terhadap sektor ini, dengan keutamaan diberikan kepada syarikat talian tetap berikutan potensi kenaikan dividen, sementara risiko berkaitan 5G dan kerugian DNB terus membayangi prospek pemain mudah alih. - DagangNews.com

Terkini standard