amree30/12/2025 - 11:33 Oleh Amree Ahmad amree@dagangnews.com KUALA LUMPUR 30 Dis – Public Investment Bank mengekalkan penarafan 'neutral' terhadap sektor perladangan di Sarawak susulan lawatan tapak ke atas dua syarikat berbeza di Miri, baru-baru ini.
Firma penyelidikan itu berkata, hasil kunjungan ke Sarawak Oil Palms Berhad (SOP) dan Sarawak Plantation Berhad (SPB), mereka memberi fokus kepada potensi nilai tersembunyi aset bank tanah strategik.
Jelasnya, ladang itu pula didapati berada di sepanjang Lebuh Raya Pan Borneo, dan mereka melihat usaha peningkatan produktiviti secara jangka panjang yang dilaksanakan oleh kedua-dua syarikat tersebut.
"SOP dan SPB merupakan perintis awal industri perladangan kelapa sawit Sarawak memiliki pendedahan bank tanah yang cukup signifikan di lokasi strategik," kata PublicInvest dalam notanya hari ini.
Ia sekali gus membuka peluang pengewangan aset dalam tempoh sederhana hingga panjang, khususnya apabila Lebuh Raya Pan Borneo siap sepenuhnya dan jika projek Rel Trans-Borneo direalisasikan.
Justeru, firma tersebut turut melihat kemajuan positif dari segi operasi, termasuk penggunaan mekanisasi dan kaedah biologi bagi meningkatkan hasil, seperti penggunaan serangga pendebungaan.
Kedua-dua syarikat itu kata PublicInvest, memiliki pusat pembiakan kumbang EK serta mesin penuaian moden yang berupaya meningkatkan kecekapan dan mengurangkan kebergantungan kepada pekerja asing.
"Bagi SOP, pengurusan menjangkakan pengeluaran buah tandan segar (BTS) menyusut sekitar 10% pada FY25 akibat cuaca lembap berpanjangan, namun menjangkakan pemulihan semula ketika FY26," jelasnya.
Kumpulan itu juga menyasarkan program penanaman semula jangka panjang sehingga 5,000 hektar setiap tahun, selain pengewangan kira-kira 2,023 hektar tanah di sepanjang Pan Borneo pada masa depan.
Sementara itu kata PublicInvest, SPB dijangka meningkatkan kapasiti pengeluaran benih sawit kira-kira 61% kepada 2.57 juta benih pada 2026, sebelum mencecah 4.4 juta benih setahun menjelang 2030.
Lawatan firma itu turut meninjau keunikan penggunaan mesin penuaian generasi baharu ‘Lipan’ dengan keupayaan lebih tiga tan metrik setiap hari dan meningkatkan produktiviti ladang secara ketara.
"Dari segi penilaian semasa, kami berpandangan yang saham kedua-dua syarikat ini masih diniagakan pada paras menarik apabila mengambil kira kedudukan aliran tunai bersih masing-masing," jelasnya.
Bagaimanapun, PublicInvest masih berhati-hati terhadap prospek margin hiliran yang kekal mencabar serta faktor kos pengeluaran yang lebih tinggi di negeri tersebut berbanding di Semenanjung Malaysia.
Secara keseluruhan, firma penyelidikan itu menegaskan daya tarikan utama SOP dan SPB terletak pada nilai aset tanah yang belum direalisasikan, serta inisiatif peningkatan hasil tuaian dalam jangka panjang.
Ia namun terus mengekalkan pendirian 'neutral' terhadap sektor perladangan di Sarawak berikutan ketidaktentuan margin dan faktor luaran seperti harga minyak sawit mentah. - DagangNews.com
