Maybank IB naikkan unjuran pendapatan MyEG bagi FY23-25 kerana MOF luluskan lanjutan konsesi imigresen
diyana
10/07/2023 - 10:25
KUALA LUMPUR 10 Julai - Maybank Investment Bank (Maybank IB) menaikkan unjuran pendapatan MyEG Services Berhad bagi tahun kewangan 2023 hingga 2025 (FY23-25) sebanyak 1 sehingga 5% susulan penerimaan lanjutan konsesi imigresen daripada Kementerian Kewangan (MOF).
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia pada Jumaat lalu, MyEG berkata ia telah menerima kelulusan tersebut yang melanjutkan kontraknya untuk perkhidmatan imigresen.
“Walaupun berdepan ancaman akibat pelaksanaan pembangunan Sistem Imigresen Bersepadu Nasional (NIISe) pada masa hadapan iaitu kira-kira separuh kedua 2025, lanjutan konsesi imigresen MyEG berkesan menjadikan risiko atau ketidakpastian polisi jangka pendek tidak berbahaya,” katanya dalam nota penyelidikan hari ini.
Pada Februari 2023, Ketua Pengarah Imigresen telah mengeluarkan kenyataan yang membayangkan bahawa konsesi imigresen MyEG tidak akan diperbaharui berikutan pembangunan NIISe, seterusnya menyebabkan harga saham kumpulan itu turun kira-kira 37% dalam lima hari.
Menurut firma penyelidikan itu, pengurusan MyEG menyatakan bahawa lanjutan tersebut adalah bagi tempoh tiga tahun sehingga Julai 2026 dan skop diperluaskan dengan memasukkan pengesahan identiti pekerja asing dan penghantaran i-Kad dikenakan caj andaian RM22 setiap pekerja.
“Skop perkhidmatan yang diperluaskan ini akan digunakan untuk pelanggan yang datang secara terus untuk pembaharuan di Jabatan Imigresen (sekitar 100,000 hingga 200,000 setiap tahun) serta permohonan permit pekerja asing baharu (kira-kira 500,000 hingga 600,000 setiap tahun).
“Melangkah ke hadapan, bayaran daripada perkhidmatan baharu ini akan berfungsi sebagai pendapatan sampingan untuk melengkapkan perniagaan konsesi sedia ada bagi pembaharuan permit pekerja asing (PLKS),” tambahnya.
Maybank IB berkata skop e-perkhidmatan yang diperluaskan untuk konsesi imigresen dianggarkan melibatkan sumbangan pendapatan tambahan sebanyak kira-kira RM7.2 juta untuk FY23 dan RM14.3 juta pada FY24/25.
“Memandangkan perkara ini, di samping normalisasi pendapatan berkaitan pembaharuan permit untuk FY25, kami telah meningkatkan unjuran pendapatan MyEG untuk FY23, FY24 dan FY25 lebih tinggi masinn-masing sebanyak 1%, 2% dan 5%,” katanya.
Firma itu turut menaikkan harga sasaran (TP) sebanyak 11% kepada RM1.14 sesaham dengan saranan ‘beli’ dikekalkan disebabkan ganjaran-risiko yang lebih baik.
Pada waktu penulisan, saham MyEG telah menokok 4.5 sen atau 6.3% kepada 76 sen, memberikannya modal pasaran berjumlah RM5.68 bilion. - DagangNews.com

