Maybank IB positif terhadap sektor perbankan didorong peningkatan kadar pinjaman

Business & Finance
3 Jul 2023 • 9:41 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Maybank IB positif terhadap sektor perbankan didorong peningkatan kadar pinjaman

azan

03/07/2023 - 09:41

KUALA LUMPUR 3 Julai - Maybank Investment Bank (Maybank IB) positif terhadap sektor perbankan selepas kadar pinjaman mencatatkan peningkatan sejak beberapa bulan.

Firma itu berkata, kadar pinjaman meningkat pada Mei 2023 namun April tidak menunjukkan tanda-tanda perkembangan yang signifikan akibat cuti perayaan.

Katanya, pertumbuhan pinjaman industri meningkat kepada 4.8% pada Mei 2023 berbanding 4.5% pada April 2023, dengan peningkatan dalam pertumbuhan pinjaman isi rumah kepada 5.4% daripada 5.3% pada April 2023, manakala pertumbuhan pinjaman bukan isi rumah bertambah baik kepada 4% berbanding 3.5%.

"Permohonan pinjaman bulanan melonjak 27.2% pada Mei berbanding penguncupan 12.7% pada April.

"Perkembangan itu adalah meluas dan melibatkan semua sektor," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

Firma itu berkata, inflasi utama menyusut kepada 2.8% pada Mei 2023 daripada 3.3% pada April 2023.

Katanya, keputusan itu adalah positif, kerana pulangan negatif ke atas deposit berkurangan kepada 0.02% berbanding 0.7% pada April 2023, mengurangkan tekanan ke atas kadar faedah

"Secara positifnya, penurunan inflasi utama sedikit sebanyak mengurangkan tekanan kadar faedah.

"Sejak musim keputusan lepas, kami telah menaikkan unjuran pertumbuhan pinjaman industri 2023 kepada 5% daripada 4.8% sebelumnya.

Firma itu mengekalkan saranan beli terhadap CIMB Group Holdings Berhad, AMMB Holdings Berhad, Alliance Bank Malaysia Berhad, Hong Leong Bank Berhad dan RHB Bank Berhad. - DagangNews.com