Maybank IB semak naik unjuran KDNK 2024 kepada 5.2%, pelaburan swasta kukuh
herman
19/08/2024 - 16:13
KUALA LUMPUR 19 Ogos - Maybank Investment Bank (Maybank IB) menyemak naik unjuran Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) 2024 kepada 5.2% daripada 4.7% sebelumnya susulan pertumbuhan separuh pertama 2024 (1H24) yang melebihi daripada jangkaan.
Pada masa sama, firma penyelidikan itu mengekalkan unjuran KDNK 2025 dengan meramalkan pertumbuhan 5.1%.
Maybank IB juga menyemak unjuran pertumbuhan perbelanjaan pengguna kepada 5.5% daripada 5.1% untuk 2024 (2025: 5.6% daripada 5.7%).
"Semakan menaik itu terutamanya mencerminkan kesan kenaikan gaji penjawat awam 15% yang akan dilakukan secara berfasa pada 1 Disember 2024 dan 1 Januari 2026.
"Di samping itu, terdapat prospek semakan gaji minimum (yang kini berjumlah RM1,500) pada tahun depan," katanya dalam nota penyelidikan hari ini.
Menurut Maybank IB, pindaan kepada unjuran KDNK 2024 mencerminkan pelaburan sektor swasta yang kukuh yang telah diluluskan sejak tahun 2021, yang membawa kepada peningkatan aktiviti pembinaan terutamanya bukan kediaman seperti kilang, pusat data, taman perindustrian, ladang solar dan logistik.
"Prestasi dan prospek pertumbuhan pelaburan dan pembinaan juga disokong oleh kemajuan dalam projek infrastruktur yang sedang berjalan (contohnya ECRL; KVLRT3; Lebuhraya Pan Borneo; RTS JB-Singapura) serta pelancaran yang dijangka bagi projek baharu (contohnya LRT Penang Mutiara; ART Johor Bahru; KVMRT3 dan naik taraf lapangan terbang," ujarnya.
Jelas firma penyelidikan itu, pindaan lain adalah terutamanya penyesuaian untuk mengambil kira prestasi 1H 2024, iaitu Pengeluaran: (2024F: +3.5% daripada +3.0%), Pertanian: (2024F: +4.3% daripada +1.7%) Perlombongan: (2024F: +4.0% daripada +5.0%), Eksport barang dan perkhidmatan: (2024F: +5.8% daripada +5.5%), Import barang dan perkhidmatan: (2025F: +7.4% daripada +7.3%)
"Terdapat juga pelarasan kecil dalam ramalan 2025 untuk perlombongan (+2.0% daripada +3.0%), eksport barang dan perkhidmatan (+6.0% daripada +5.9%), dan import barang dan perkhidmatan (+7.4% daripada +7.3%)," jelasnya.
Bank Negara Malaysia (BNM) pada Jumaat lalu mengumumkan ekonomi Malaysia meningkat sebanyak 5.9% pada suku kedua 2024 didorong permintaan domestik yang lebih kukuh serta perkembangan positif eksport negara.
Bank pusat itu berkata, perbelanjaan isi rumah meningkat berikutan keadaan pasaran pekerja yang kekal positif dan sokongan dasar yang lebih meluas manakala aktiviti pelaburan disokong oleh projek berbilang tahun yang terus dilaksanakan dan pengembangan kapasiti oleh syarikat. - DagangNews.com


