Maybank IB unjur pendapatan sektor REIT Malaysia berkembang 9.1% pada 2024
diyana
15/01/2024 - 10:12
KUALA LUMPUR 15 Jan - Maybank Investment Bank (Maybank IB) mengunjurkan pendapatan sektor amanah pelaburan hartanah (REIT) Malaysia berkembang 9.1% pada tahun ini berbanding 6.9% tahun ini.
Dengan mengekalkan penarafan ‘neutral’ ke atas sektor ini, firma penyelidikan itu menjelaskan bahawa momentum pertumbuhan sektor berterusan pada 2024 disokong oleh pengekalan kadar penghunian dan sewa, serta beberapa suntikan aset baharu, iaitu ke dalam Pavilion REIT, CapitaLand Malaysia Trust (CLMT), Sunway REIT, Sentral REIT, Axis REIT dan YTL Hospitality REIT.
Firma tersebut menjelaskan bahawa minat lebih tinggi bakal kembali kepada saham dengan hasil tinggi memandangkan pengetatan dasar monetari global akan tamat.
“REIT Malaysia pada masa ini menawarkan purata hasil bersih tahun kalendar 2024 sebanyak 6.4%, terutamanya diterajui YTL Hospitality REIT (8.1%) dan Sentral REIT (7.9%).
“Sementara itu, sebaran hasil bersih pulangan sektor berbanding hasil Sekuriti Kerajaan Malaysia (MGS) 10 tahun adalah pada 227bps, melebihi min 10 tahunnya sebanyak 121 mata asas.
“Pasukan Penyelidik Pendapatan Tetap kami menjangkakan hasil MGS 10 tahun akan lebih rendah kepada 3.5% menjelang akhir separuh pertama 2024 (1H24), iaitu sebaran hasil bersih 1H24E sebanyak 192 mata asas,” ulasnya dalam nota penyelidikan hari ini.
Maybank IB turut menjangkakan Bank Negara Malaysia (BNM) tidak menaikkan kadar faedah, dengan kadar dasar semalaman (OPR) dikekalkan pada 3% sepanjang 2024, memberikan penangguhan kepada kos pembiayaan lebih tinggi yang dialami pada 2023.
Pilihan ‘beli’ teratas firma tersebut adalah YTL Hospitality REIT, dengan harga sasaran (TP) RM1.08 sesaham, disebabkan hasil dividennya yang kukuh sebanyak 8.1% dan peningkatan prestasi hotelnya di Australia.
Firma itu menambah, pendapatan sewa daripada portfolio hotel REIT itu di Malaysia dan Jepun harus kekal berdaya tahan kerana aturan pajakan induk jangka panjang mereka.
Ia turut menyarankan pelabur membeli unit Pavilion REIT (TP: RM1.41), Sentral REIT (TP: 96 sen) dan Axis REIT (TP: RM2.16) . Firma tersebut menjangkakan Pavilion REIT mendapat manfaat daripada peningkatan prestasi Pavilion KL dan sumbangan setahun penuh daripada Pavilion Bukit Jalil.
“Sementara itu, pertumbuhan pendapatan Sentral REIT akan disokong oleh kadar penghunian yang lebih tinggi untuk aset pejabatnya dan sumbangan baharu daripada Menara CelcomDigi.
“Kami terus menyukai Axis REIT disebabkan pendedahannya tinggi dalam segmen perindustrian dan usaha aktifnya untuk memperoleh aset baharu bagi mengembangkan portfolionya,” tambahnya. - DagangNews.com


