Maybank Islamic, Lembaga Zakat Selangor bekerjasama tingkatkan kutipan, agihan zakat secara digital

6 Sep 2023 • 2:32 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Maybank Islamic, Lembaga Zakat Selangor bekerjasama tingkatkan kutipan, agihan zakat secara digital

diyana

06/09/2023 - 14:32

KUALA LUMPUR 6 Sept - Maybank Islamic Bhd dan Lembaga Zakat Selangor (LZS) telah memeterai perjanjian kerjasama bagi memastikan pelanggan dapat membayar zakat dengan lancar di samping memperkasakan mereka untuk memberi impak sosial yang positif menerusi sumbangan masing-masing.

Perjanjian tersebut, yang merasmikan pelantikan Maybank Islamic sebagai bank operasi utama bagi LZS, dijangka dapat meningkatkan lagi sumbangan kepada program pembasmian kemiskinan dengan bank itu mengukuhkan usaha berkenaan menerusi saluran dalam taliannya.

"Menerusi kerjasama ini, kami menawarkan agensi zakat itu dengan khidmat pengurusan tunai lebih cekap dan menyeluruh daripada kutipan zakat sehingga pengagihannya, dengan memanfaatkan rangkaian perkhidmatan dan perbankan digital Maybank yang meluas," kata Ketua Pegawai Eksekutif Maybank Islamic, Datuk Mohamed Rafique Merican dalam satu kenyataan media hari ini.

LZS akan melaksanakan kutipan zakat tersebut menerusi pelbagai saluran kutipan seperti M2U, aplikasi dompet elektronik Maybank atau MAE, JomPay serta kad kredit dan debit, manakala zakat yang diterima di kaunter pula dimasukkan melalui sistem jarak jauh di cawangan masing-masing.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif LZS, Mohd Sabirin Mohd Sarbini berkata agensi itu menyediakan lebih daripada 10 kaedah untuk umat Islam di negeri itu menunaikan kewajipan membayar zakat pada masa ini.

Sebagai platform saluran pembayaran, Mohd Sabirin berkata Maybank telah memainkan peranan dalam peningkatan kutipan zakat di Selangor, termasuk RM52.8 juta pada tahun lalu.

Tambahnya, jumlah tersebut menyumbang 63% daripada keseluruhan kutipan daripada platform saluran pembayaran institusi kewangan lain yang dilantik oleh LZS.

Pada tahun lalu, LZS meraih kutipan zakat tertinggi mencecah RM1.07 bilion serta mengagih RM1.05 bilion yang memberi manfaat kepada lebih 350,000 individu asnaf.

Daripada jumlah berkenaan, majoriti daripadanya iaitu sejumlah RM885 juta telah disalurkan kepada institusi sosial, pendidikan dan agama, manakala lebih RM700 juta diperuntukkan bagi pembangunan sosial untuk komuniti asnaf di Selangor.

“Komitmen untuk mengumpul RM1.5 bilion menjelang 2025 menunjukkan dedikasi LZS untuk mewujudkan sistem sokongan mampan kepada golongan asnaf yang berpotensi mencecah 400,000 penerima.

“Dana ini akan digunakan untuk menyediakan bantuan kewangan, pendidikan, penjagaan kesihatan dan perkhidmatan penting lain kepada mereka yang berada diperlukan," ujar Mohd Sabirin. - DagangNews.com