Maybank, JP Morgan Asset Management lancar Dana MAMG Global Dividend
zulfadli
12/07/2023 - 14:58
KUALA LUMPUR 12 Julai - Maybank Asset Management Sdn Bhd (MAM), yang dimiliki sepenuhnya oleh Maybank Asset Management Group (MAMG), dengan kerjasama JP Morgan Asset Management, salah satu pengurus pelaburan bertaraf dunia dengan aset di bawah pengurusan bernilai AS$2.67 trilion, melancarkan Dana MAMG Global Dividend.
Dana ini merupakan dana 'feeder' yang bertujuan untuk mencapai pertumbuhan modal dan pendapatan dengan melabur dalam Dana Pelaburan JPMorgan - Dana Global Dividend (Dana Sasaran), yang diuruskan oleh JPMorgan Asset Management (Eropah).
Dana Sasaran melabur dalam ekuiti global yang berkualiti merentasi spektrum hasil, daripada saham hasil dividen yang tinggi, saham pertumbuhan dividen sehinggalah kepada pengkompaun mantap, yang mampu menjana pendapatan tinggi di samping mempelbagaikan pulangan portfolio.
Ketua Pegawai Eksekutif MAM, Ahmed Muzni Mohamed berkata, pelancaran dana 'all-weather' baharu pihaknya dikenali sebagai Dana MAMG Global Dividend bertujuan memberikan hasil dividen unggul serta konsisten dengan peluang menarik yang tersedia untuk pertumbuhan pendapatan jangka panjang.
"Dengan cadangan nilai ini, kami berharap dana ini mampu mewujudkan lonjakan minat dalam kalangan pelabur tempatan dan kami percaya ia akan memberi para pelabur manfaat di samping ketenangan minda untuk mengembangkan portfolio pelaburan mereka," katanya dalam kenyataan media di sini.
Ketua Dana Asia Tenggara JP Morgan Asset Management, Supreet Bhan berkata, mempunyai ciri-ciri pertahanan dan kualiti dalam portfolio adalah sangat penting untuk menghadapi risiko kemelesetan dan inflasi tinggi yang berpanjangan.
Katanya, strategi seperti ini bertujuan untuk mengharungi turun naik pasaran dengan sektor pembayaran dividen klasik yang mampu menempuh kemerosotan ekonomi dengan lebih baik.
"Juga penting untuk ditekankan bahawa pada masa ini, penilaian ekuiti berpulangan tinggi kelihatan lebih menarik berbanding ekuiti berhasil rendah dan pengurusan aktif adalah perkara utama dalam mengenalpasti peluang terbabit," katanya.
Dana ini bertujuan untuk memberi pulangan pelaburan yang konsisten dan potensi pertumbuhan kapital daripada portfolio saham dividen global berkualiti tinggi merentasi spektrum hasil.
Dana ini akan melabur sekurang-kurangnya 90% daripada nilai aset bersihnya dalam Dana Sasaran, sesuai untuk pelabur yang merancang untuk melabur dalam jangka masa sederhana hingga panjang dan sanggup bertoleransi dengan risiko berkaitan dengan pelaburan dalam Dana Sasaran.
Dana MAMG Global Dividend boleh diperolehi secara eksklusif di cawangan Maybank seluruh negara. Untuk maklumat lanjut, layari https://www.maybank-am.com.my. - DagangNews.com

