UOB lancar dana ekuiti baharu kepada pelabur runcit untuk pasaran saham Vietnam
zulfadli
13/06/2023 - 12:26
KUALA LUMPUR 13 Jun - UOB Asset Management (Malaysia) melancarkan United Vietnam Equities Fund (UVEF) bagi menawarkan pelabur runcit tempatan pendedahan kepada pasaran ekuiti di Vietnam, salah satu hab pembuatan terkemuka di ASEAN.
Penawaran dana ini menekankan komitmen syarikat untuk menyediakan penyelesaian pelaburan inovatif yang memanfaatkan peluang dalam pasaran ASEAN yang semakin berkembang.
Ketua Pegawai Eksekutif UOBAM (Malaysia), Lim Suet Ling berkata, pihaknya berbesar hati memperkenalkan UVEF, yang merupakan pencapaian penting bagi UOBAM.
Katanya, melalui dana ini, pihaknya menawarkan kepakaran serantau untuk menghubungkan rakyat Malaysia kepada salah satu landskap pelaburan pasaran yang terkemuka di ASEAN.
"Pertumbuhan ekonomi yang teguh di Vietnam serta persekitaran perniagaan yang rancak menyediakan peluang menarik kepada pelabur yang ingin mengambil kesempatan daripada pertumbuhan di rantau ini," katanya dalam kenyataan hari ini.
UVEF sesuai untuk pelabur runcit yang mengutamakan tempoh pelaburan jangka panjang dan juga selesa dengan turun naik dan risiko dana ekuiti.
Kedudukan mantap UOBAM di rantau ASEAN, digabungkan dengan kepakaran pelaburan dalam negara ia beroperasi telah membolehkan syarikat menangkap potensi dalam pasaran ekuiti Vietnam.

Pada masa sama, pelabur juga meraih manfaat daripada kepakaran tempatan pasukan UOBAM Vietnam yang berdedikasi dan berpengalaman di pejabatnya di Ho Chi Minh City.
Pasukan itu telah menguruskan beberapa dana luar pesisir dan memberi mandat melabur dalam pasaran Vietnam untuk pelabur institusi asing sepanjang dekad yang lepas.
Hasilnya, syarikat berjaya membina dan mengekalkan pangkalan data yang kukuh merangkumi lebih 120 syarikat tersenarai Vietnam, mewakili lebih 90% daripada jumlah permodalan pasaran negara.
UVEF berusaha mencapai objektifnya dengan melabur sekurang-kurangnya 90% daripada nilai aset bersih (NAB) dana dalam United Vietnam Equity Fund (Dana Sasaran). Baki 10% selebihnya akan dilaburkan dalam aset cair, termasuk instrumen pasaran wang dan deposit.
Dana Sasaran melabur terutamanya dalam ekuiti dan sekuriti berkaitan ekuiti syarikat dan entiti lain yang disenaraikan, bertempat, diperbadankan, atau mempunyai operasi atau aset perniagaan yang penting di Vietnam. Semua keputusan pelaburan akan dilakukan di peringkat Dana Sasaran oleh pengurusnya, UOBAM.
UVEF tersedia untuk dilanggan mulai sekarang melalui pengedar terpilih dalam mata wang domestik dan asing dengan pelaburan permulaan minimum sebanyak RM1,000 dan AS$1,000. - DagangNews.com

