liza03/08/2026 - 14:22 Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com KUALA LUMPUR 3 Ogos – Maybank akan mengambil alih baki 30.95% pegangan dalam syarikat induk Etiqa, Maybank Ageas Holdings Bhd (Maybank Ageas), daripada syarikat insurans Belgium, Ageas SA pada nilai RM4.83 bilion yang akan menjadikan kumpulan perbankan terbesar negara itu sebagai pemilik penuh perniagaan insurans dan takafulnya.
Maybank dalam satu kenyataan hari ini berkata, pihaknya telah menandatangani perjanjian pelaksanaan dengan Ageas Insurance International NV bagi memperoleh baki pegangan dalam anak syarikat yang kini dimilikinya sebanyak 69.05%.
Maybank Ageas merupakan syarikat induk bagi operasi Etiqa di Malaysia dan Singapura yang menawarkan produk insurans hayat, insurans am, takaful keluarga serta takaful am menerusi pelbagai saluran pengedaran.
Harga pembelian RM4.83 bilion itu diselaraskan dengan pembayaran dividen sebanyak RM800 juta yang akan dibuat oleh Maybank Ageas pada tarikh penyempurnaan urus niaga, sekali gus meletakkan nilai syarikat pada 1.98 kali nilai buku dan 15.3 kali pendapatannya.
Ageas akan menerima dividen sebanyak RM248 juta manakala Maybank akan menerima RM552 juta. Pengambilalihan itu akan dibiayai menerusi gabungan dana dalaman dan pembiayaan luar.
Pengambilalihan perkukuh strategi ROAR30
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Maybank, Datuk Seri Khairussaleh Ramli berkata, pengambilalihan itu adalah permulaan fasa seterusnya strategi ROAR30 kumpulan dengan memperkukuh pelaburannya dalam Etiqa, yang merupakan penyedia takaful keempat terbesar di dunia.
Beliau berkata, langkah itu akan memacu pertumbuhan serantau, memperluaskan penembusan pelanggan di peringkat serantau serta terus mencipta nilai kepada pemegang saham.
"Transaksi ini merupakan satu pencapaian penting bagi Maybank dalam mengorak langkah ke fasa pertumbuhan seterusnya bagi perniagaan insurans dan takaful kami di seluruh Asia Tenggara.
“Kami juga akan terus melabur dalam inovasi dan memanfaatkan keupayaan digital bagi meningkatkan produktiviti, mengurangkan kos operasi serta memberikan pengalaman pelanggan yang lebih baik.
"Pelanggan baharu dan sedia ada turut akan mendapat akses kepada rangkaian penyelesaian yang lebih luas termasuk penawaran produk yang dipertingkatkan. Ini adalah sebahagian daripada komitmen kami untuk meningkatkan akses kepada perlindungan insurans dan takaful agar lebih mudah diperoleh oleh semua pengguna," katanya dalam kenyataan.
Khairussaleh berkata, pemilikan penuh Maybank Ageas akan menyokong strategi penciptaan nilai jangka panjang Maybank.
Dalam pada itu, beliau turut merakamkan penghargaan kepada Ageas atas sumbangannya dalam membangunkan francais Etiqa sepanjang 25 tahun lalu.
Tertakluk kelulusan Bank Negara Malaysia
Menurut Maybank, pengambilalihan itu disokong oleh empat objektif strategik iaitu mengukuhkan kedudukan Etiqa sebagai juara insurans dan takaful nasional Malaysia menerusi capaian pelanggan yang lebih luas, mempercepatkan pengembangan serantau di bawah strategi ROAR30, meningkatkan pendapatan jangka panjang, pulangan ke atas ekuiti (ROE) dan nilai pemegang saham.
Selain itu, ia juga akan menambah baik kecekapan pengurusan modal bagi menyokong pembayaran dividen yang mampan.
Maybank memaklumkan permohonan yang diperlukan bersama perjanjian pelaksanaan serta bentuk perjanjian jual beli saham yang dipersetujui telah dikemukakan kepada bank pusat itu.
Maybank Investment Bank Bhd dan Morgan Stanley Asia (Singapore) Pte Ltd masing-masing bertindak sebagai penasihat kewangan dan penasihat kewangan antarabangsa bagi transaksi tersebut. - DagangNews.com






