liza30/07/2026 - 09:39 Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com KUALA LUMPUR 30 Julai – Sunway Healthcare Holdings Bhd membeli empat lot tanah pegangan bebas seluas 4.01 hektar (9.918 ekar) di Sunway City Iskandar Puteri, Johor pada nilai RM45.37 juta.
Pembelian tanah itu akan menjadi asas kepada pembinaan sebuah hospital baharu yang bakal menambah kapasiti rangkaian penjagaan kesihatan kumpulan di negara ini, sekali gus mengukuhkan kedudukannya dalam segmen hospital pakar.
Hospital yang dirancang di Iskandar Puteri itu akan mempunyai 410 katil dengan kos pembangunan dianggarkan RM781.6 juta, selaras dengan perancangan jangka panjang syarikat untuk memperluaskan perkhidmatan penjagaan kesihatan di lokasi berpotensi tinggi.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, Sunway Healthcare berkata pembangunan tersebut dijangka membantu memenuhi keperluan terhadap perkhidmatan hospital pakar yang semakin meningkat di wilayah selatan.
“Pelaburan itu juga mencerminkan komitmen Kumpulan untuk terus mengembangkan rangkaian hospital selain menyediakan kemudahan rawatan yang lebih komprehensif kepada penduduk di Johor dan kawasan sekitarnya,” kata Sunway Healthcare.
Dibiayai Melalui Dana Dalaman Dan Pinjaman Bank
Pembelian tanah itu akan dilaksanakan menerusi anak syarikat miliknya, Sunway Medical Centre Sdn Bhd yang menandatangani perjanjian jual beli dengan Sunway Marketplace Sdn Bhd, Sunway Parkview Sdn Bhd dan Sunway Iskandar Sdn Bhd.
Urus niaga tersebut diklasifikasikan sebagai urus niaga pihak berkaitan memandangkan syarikat-syarikat terbabit berada dalam Kumpulan Sunway, dengan Sunway Bhd juga merupakan pemegang saham utama Sunway Healthcare.
Bagaimanapun, syarikat memaklumkan cadangan pembelian itu tidak memerlukan kelulusan pemegang saham dan dijangka selesai pada suku kedua tahun 2027.
Bagi membiayai pemerolehan berkenaan, Sunway Healthcare akan menggunakan gabungan dana dalaman serta kemudahan pinjaman bank.
Sehingga akhir Mac 2026, kumpulan itu mempunyai 1,805 katil berlesen dengan kapasiti keseluruhan sebanyak 1,982 katil.
Penambahan hospital baharu di Iskandar Puteri dijangka meningkatkan lagi keupayaan Sunway Healthcare dalam memenuhi permintaan terhadap perkhidmatan penjagaan kesihatan swasta, selain mengembangkan lagi jejak operasinya di Malaysia. - DagangNews.com






