
KUALA LUMPUR: Maybank diingatkan untuk terus kekal sebagai institusi kewangan yang berteraskan integriti, tadbir urus yang baik dan nilai kemanusiaan dalam mendepani landskap kewangan global yang semakin mencabar.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kekuatan sesebuah institusi kewangan tidak hanya diukur melalui prestasi kewangan, tetapi turut bergantung kepada keupayaannya mempertahankan prinsip integriti, profesionalisme dan tadbir urus yang berkesan.
Katanya, isu integriti dan tadbir urus tidak boleh sekadar dijadikan slogan atau retorik, sebaliknya perlu diterjemahkan dalam amalan pengurusan yang bertanggungjawab.
“Malaysia tidak terlepas daripada berdepan cabaran integriti dan tadbir urus yang baik. Ia lebih mudah diperkatakan, tetapi yang lebih penting ialah mengamalkannya kerana kegagalan mempertahankan nilai itu boleh memusnahkan asas moral, ekonomi, keluarga dan masyarakat,” katanya ketika berucap merasmikan ibu pejabat baharu Maybank di Menara Merdeka Maybank di sini, hari ini.
Yang turut hadir, Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan; Pengerusi Maybank, Tan Sri Ir. Zamzamzairani Mohd. Isa; Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar; Pengerusi Permodalan Nasional Bhd. (PNB), Raja Tan Sri Arshad Raja Uda; serta Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Maybank, Datuk Seri Khairussaleh Ramli.
Anwar berkata, institusi kewangan yang memiliki sejarah gemilang perlu terus diperkukuh dengan kepimpinan yang berteraskan integriti, selain melahirkan tenaga kerja profesional yang mempunyai kemahiran, bakat dan nilai yang tinggi.
Beliau turut mengingatkan, kemajuan teknologi, termasuk kecerdasan buatan (AI) dan perkomputeran kuantum (quantum computing), akan menjadi antara penentu utama arah masa depan sektor kewangan.
Perdana Menteri berkata, Maybank bukan sahaja perlu mengekalkan prestasi kewangannya, malah terus memperkukuh reputasi sebagai institusi yang dihormati kerana integriti dan tadbir urusnya.
“Saya bersyukur kerana Maybank kekal mantap bukan sahaja daripada sudut prestasi kewangan, tetapi juga dari segi tadbir urus dan khidmatnya,” katanya.
Beliau berkata, imej baik sesebuah institusi kewangan dibina bukan semata-mata atas keuntungan yang dicatatkan, sebaliknya melalui kepercayaan yang diberikan oleh masyarakat.
Anwar berkata, pendekatan Menginsankan Perkhidmatan Kewangan yang menjadi teras Maybank mempunyai makna yang lebih besar kerana ia menghubungkan sektor kewangan dengan nilai kemanusiaan.
Tambahnya, walaupun perkhidmatan kewangan sering dikaitkan dengan keuntungan dan pulangan, namun aspek kemanusiaan perlu menjadi sebahagian daripada agenda utama institusi kewangan.
“Saya percaya Maybank mampu membawa perubahan dan telah membuktikannya. Institusi kewangan perlu memenuhi kehendak rakyat,” katanya.
E
The post Maybank perlu kekal berintegriti mendepani cabaran kewangan global appeared first on Utusan Malaysia.






