
PETALING JAYA – Institusi kewangan perlu terus menjadi pemacu utama pertumbuhan ekonomi negara dengan berteraskan integriti, tadbir urus yang baik serta perkhidmatan kewangan yang mampu dinikmati seluruh rakyat.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menerusi hantaran di laman Facebook menegaskan kemajuan sesebuah negara tidak seharusnya diukur berdasarkan angka pertumbuhan ekonomi atau keuntungan semata-mata, sebaliknya sejauh mana manfaat pembangunan itu dapat dirasai oleh rakyat.
Menurutnya, institusi perbankan juga perlu memastikan akses kepada perkhidmatan kewangan berkualiti dapat diperluaskan supaya tiada golongan yang tercicir daripada arus pembangunan.
Katanya, kekuatan sesebuah institusi kewangan bukan hanya bergantung kepada prestasi perniagaan, malah perlu disokong oleh budaya integriti, tatakelola yang baik serta warga profesional yang amanah dan berakhlak.
“Kekuatan sesebuah institusi kewangan mesti berpaksikan integriti, tatakelola yang baik serta barisan profesional yang amanah dan berakhlak. Tanpa nilai-nilai ini, institusi yang gah juga boleh kecundang.
“Kemajuan yang sebenar ialah kemajuan yang memberi manfaat kepada seluruh rakyat dan memastikan tiada yang ketinggalan,” katanya. – KOSMO! ONLINE
The post Institusi kewangan perlu berpaksikan integriti, bukan sekadar untung – PM appeared first on Kosmo Digital.






