Maybank, Sime Darby tawar kelulusan pembiayaan rumah dalam 10 saat
diyana
10/10/2023 - 14:41
KUALA LUMPUR 10 Okt - Maybank dan Sime Darby Property telah menjalin kerjasama strategik untuk menawarkan kelulusan pembiayaan rumah segera dalam 10 saat dan kadar pembiayaan yang kompetitif kepada pembeli rumah berkelayakan.
Dalam satu kenyataan media hari ini, Maybank dan Sime Darby Property berkata mereka bekerjasama menyepadukan platform pembiayaan Maybank Home2u ke dalam sistem tempahan dalam talian (OBS) Sime Darby Property agar dapat memberikan pengalaman lancar untuk pemilikan rumah.
Bakal pembeli rumah boleh menyemak kelayakan mereka dan memohon pembiayaan rumah dengan Maybank Home2u dan apabila berkelayakan, kelulusan diberikan dalam tempoh kira-kira 10 saat, manakala surat tawaran akan dikeluarkan dalam masa sejam selepas tempahan di OBS.
Pembeli rumah akan turut diberikan wakil gadai janji Maybank dan mempunyai pilihan untuk menyemak status permohonan pembiayaan rumah mereka di laman web Maybank2u.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Perkhidmatan Kewangan Komuniti Maybank, Datuk John Chong, berkata kerjasama tersebut adalah sejajar dengan misi Maybank untuk memanusiakan perkhidmatan kewangan, melengkapkan rumusan pembiayaan pemilikan rumah holistik semasa Maybank dan memudahkan pemilikan rumah.
“Dengan kerjasama ini, kami dapat menawarkan kelulusan segera dan kadar pembiayaan yang kompetitif dengan Maybank Home2u di platform OBS Sime Darby Property.
“Maybank juga menawarkan rangkaian perkhidmatan penuh termasuk terma pembayaran balik yang fleksibel bagi memenuhi bajet mereka, rumusan pengubahsuaian rumah dengan Home+Reno, serta MyDeco untuk meningkatkan keselesaan rumah dan yang disesuaikan dengan gaya anda,” ujar beliau.
Di samping itu, di bawah kempen tawaran hebat Sime Darby Property yang sedang berlangsung sehingga 31 Disember 2023, pelanggan ditawarkan kadar pembiayaan keutamaan yang kompetitif melalui Maybank Home2u, di mana memorandum pemindahan (MOT), duti setem dan yuran guaman ditanggung oleh pemaju hartanah tersebut.
Ketua Pegawai Pemasaran dan Jualan Sime Darby Property, Datuk Lai Shu Wei berkata keupayaan syarikat menawarkan pengalaman jualan dalam talian penuh hujung ke hujung meletakkannya sebagai peneraju industri, dengan pelanggan menikmati transaksi lancar dalam perjalanan pembelian rumah Sime Darby Property.
“Kami berusaha memberikan kemudahan yang tiada tandingan kepada pembeli rumah untuk meninjau, mendaftar, memilih rumah idaman mereka dan menyelesaikan pembayaran secara dalam talian. Kerjasama dengan Maybank ini melengkapkan misi kami dengan sempurna untuk memberikan pengalaman dengan kemampuan kami sepenuhnya,” tambahnya. - DagangNews.com


