Maybank2u anda diceroboh atau meragukan, tekan ‘Kill Switch’ untuk sekat semua akses

Digital
30 Jan 2023 • 8:29 PM MYT
SoyaCincau
SoyaCincau

For everything that matters in tech

image is not available

Untuk meningkatkan lagi keselamatan perbankan atas talian, Maybank baru-baru ini telah memperkenalkan fungsi ‘Kill Switch‘. Ia boleh diakses menerusi laman web Maybank2u dan aplikasi MAE.

Fungsi ini membolehkan pelanggan menyekat sepenuhnya akses Maybank2u dengan pantas, melalui satu butang sahaja di peranti. Ia boleh digunakan jika pengguna merasakan berlakunya transaksi yang meragukan atau ada yang pelik pada akaun Maybank mereka. Malah, sekatan mudah dan cepat ini boleh dilaksanakan jika pengguna percaya mereka telah ditipu.

Apabila Kill Switch diaktifkan, pengguna akan didaftar keluar secara automatik daripada semua sesi atas talian, sama ada di aplikasi MAE dan Maybank2u atau di laman web Maybank2u. Atas dasar keselamatan juga, sepanjang pengaktifan ini berlaku, pengguna tidak akan dapat mendaftar masuk semula ke Maybank2u seperti biasa. Sebaliknya ia hanya boleh dibuat selepas pengesahan berjaya dibuat di cawangan Maybank, atau menghubungi Pusat Khidmat Pelanggan Maybank (MGCC) di talian 1300 88 8866.

Selepas pengesahan dibuat, pengguna boleh mendaftar masuk semula menggunakan ID pengguna dan kata laluan yang serupa. Tetapi pengguna digalakkan untuk terus menukar kata laluan sejurus itu sebagai langkah keselamatan.

Semasa Kill Switch aktif, sebarang transaksi automatik yang telah ditetapkan, serta senarai kenalan tidak akan berubah. Jadi pengguna tidak perlu risau jika ada bil yang yang telah dibuat tetapan bayaran automatik di Maybank2u selepas itu.

Malah, pengeluaran wang tunai di ATM melalui kad debit dan kredit Maybank juga boleh diteruskan seperti biasa. Cuma pengeluaran tunai tanpa kad dan tanpa sentuh tidak boleh dibuat, kerana ia memerlukan daftar masuk ke Maybank2u.

image is not available

Cara mengaktifkan Kill Switch di laman web Maybank2u

  • Langkah 1: Log masuk ke www.maybank2u.com.my
  • Langkah 2: Pergi ke 'SETTINGS'
  • Langkah 3: Klik 'SECURITY' dan pilih 'Kill Switch'
  • Langkah 4: Di bawah 'Deactivate M2U Access', klik 'DEACTIVATE'
  • Langkah 5: Baca terma dan klik 'PROCEED'
  • Langkah 6: Klik 'CONFIRM' untuk teruskan

Cara mengaktifkan Kill Switch di aplikasi MAE

  • Langkah 1: Buka aplikasi MAE dan tekan 'More'
  • Langkah 2: Tekan 'Kill Switch'
  • Langkah 3: Pilih 'Deactivate M2U Access'
  • Langkah 4: Baca terma dan tekan 'Deactivate Now'
  • Langkah 5: Tekan 'Confirm' untuk teruskan

Untuk maklumat lanjut tentang ciri baharu "Kill Switch", sila layari maybank.my/Kill-Switch. Pengguna juga digalakkan untuk sentiasa ambil tahu tentang cara melindungi diri daripada penipuan, antaranya merujuk laman web Security Awareness Maybank.

Selain itu, jika anda merasakan bahawa diri anda telah ditipu, segera hubungi talian hotline Penipuan 24 jam Maybank di 03-5891 4744; atau Pusat Respon Scam Kebangsaan (NSRC) di talian 997 (8 pagi-8 malam setiap hari).

Bacaan Berkaitan