MB: Amalan kitar semula dari rumah semakin membudaya di Selangor

LocalEnvironment
21 Oct 2026 • 12:08 PM MYT
Media Selangor
Media Selangor

Berita dan isu semasa, inklusif untuk semua.

MB: Amalan kitar semula dari rumah semakin membudaya di Selangor

SHAH ALAM, 21 OKT: Amalan mengasingkan sisa dan mengitar semula bahan buangan dari rumah semakin menjadi kebiasaan dalam kalangan rakyat Selangor menerusi pelaksanaan program SELKitar yang kini melibatkan lebih 380,000 kediaman di sembilan daerah.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata perkembangan itu mencerminkan kesediaan masyarakat mengubah cara pengurusan sisa domestik dengan menjadikan aktiviti kitar semula sebagai sebahagian daripada rutin harian.

Menurutnya, program yang bermula sebagai projek rintis di Subang Jaya dan Sepang itu berjaya mengumpul serta memproses lebih 6.3 juta kilogram bahan kitar semula termasuk botol plastik, kotak susu dan tin minuman.

“Dengan perkembangan ini, saya melihat kesediaan rakyat Selangor melaksanakan proses kitar semula bermula di rumah.

“Mengasingkan sisa di rumah tidak lagi dilihat sebagai satu beban tetapi kebiasaan baharu yang sudah mula dibudayakan,” katanya menerusi hantaran di Facebook.

Amirudin berkata pembudayaan amalan itu turut membantu mengurangkan jumlah sisa yang dihantar ke tapak pelupusan, sekali gus memelihara tanah dan mengurangkan pencemaran alam sekitar.

Jelasnya, pengasingan sisa dari rumah juga membolehkan bahan buangan yang masih boleh digunakan semula disalurkan kepada proses kitar semula yang bersesuaian.

Beliau berkata usaha berkenaan menjadi antara sasaran penting dalam Rancangan Selangor Pertama dan Kedua bagi memperkukuh pengurusan sisa serta kelestarian alam sekitar.

Sehubungan itu, Amirudin berharap lebih ramai rakyat Selangor menyertai SELKitar, khususnya penghuni pangsapuri dan kondominium yang bakal dilibatkan dalam fasa pelaksanaan seterusnya.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved