Zakat Selangor, SPNB kerjasama bina rumah asnaf serendah RM70,000

20 Oct 2026 • 8:00 PM MYT
Media Selangor
Media Selangor

Berita dan isu semasa, inklusif untuk semua.

Zakat Selangor, SPNB kerjasama bina rumah asnaf serendah RM70,000

SHAH ALAM, 20 OKT: Lembaga Zakat Selangor (LZS) menjalin kerjasama dengan Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) menerusi Program Rumah Mesra Rakyat bagi membantu golongan asnaf membina semula kediaman daif atau musnah akibat bencana.

Ketua Pegawai Eksekutif LZS Mohd Khaidzir Shahari berkata kerjasama itu membolehkan pihaknya memanfaatkan kepakaran SPNB dalam pembinaan rumah untuk golongan berpendapatan rendah, sekali gus mengurangkan kos pembinaan menggunakan dana zakat.

“Jadi, kita juga mengambil kesempatan menggunakan komponen subsidi kerajaan itu dan juga wang zakat,” katanya ketika ditemui pada Majlis Sepetang Bersama Media dan Pelancaran Kempen Hujung Tahun Zakat Selangor 2026 di Hotel Concorde di sini, hari ini.

Image from: Zakat Selangor, SPNB kerjasama bina rumah asnaf serendah RM70,000
Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Zakat Selangor Mohd Khaidzir Shahari bercakap kepada media selepas majlis Sepetang Bersama Media dan Pelancaran Kempen Hujung Tahun Zakat Selangor 2026 di Hotel Concorde, Shah Alam pada 20 Oktober 2026. Foto FIKRI YUSOF/MEDIA SELANGOR

Menerusi kerjasama itu, subsidi kerajaan sebanyak RM20,000 akan digabungkan dengan pembiayaan zakat bagi menampung baki kos pembinaan rumah untuk penerima yang memenuhi syarat kelayakan.

Mohd Khaidzir berkata, harga rumah di bawah program SPNB itu dianggarkan antara RM70,000 hingga RM90,000 seunit.

“Jadi, ini sebenarnya jauh lebih rendah jumlahnya kalau kita buat sendiri tanpa usaha sama dengan SPNB,” katanya.

Beliau berkata, bantuan berkenaan menyasarkan asnaf yang mempunyai tanah dengan hak milik sah tetapi kediaman mereka daif atau rosak akibat bencana, termasuk kes tertentu membabitkan masyarakat Orang Asli beragama Islam yang memiliki tanah adat diiktiraf.

Menurutnya, Zakat Selangor menyasarkan pembinaan dua rumah sebagai permulaan pada suku akhir tahun ini, dengan proses mengenal pasti penerima layak sedang dijalankan.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved