MB dan Exco ditohmah dalam isu turun takhta Yang di-Pertuan Besar

LocalPolitics
22 Sep 2026 • 8:02 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: MB dan Exco ditohmah dalam isu turun takhta Yang di-Pertuan Besar

SEREMBAN: Menteri Besar, Datuk Ismail Lasim bersama barisan ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) tidak mempunyai kuasa menurunkan takhta Tuanku Muhriz ibni Almarhum Tuanku Munawir sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan.

Dalam kenyataan, Undang Yang Empat dan Tunku Besar Tampin menyebut, tuduhan bahawa Menteri Besar bersama barisan Exco terlibat dalam perbuatan itu adalah semata-mata tohmahan pihak tertentu yang bersifat fitnah jahat yang dirancang untuk kepentingan peribadi kumpulan tertentu.

Mereka berkata, Menteri Besar bersama Exco hanya melaksanakan tugas perlembagaan bagi mematuhi ketetapan Undang Yang Empat di bawah Perkara 10 Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan (UUTKNS) 1959 di samping memelihara kedudukan Undang Yang Empat dan Tunku Besar Tampin sebagai Pembesar Memerintah negeri ini sebagaimana termaktub dalam Perkara 28 UUTKNS 1959.

“Kami menegaskan kuasa memilih dan menurunkan Yang di-Pertuan Besar merupakan adat prerogatif kami yang turut termaktub di dalam Perkara, 7, Perkara 10 dan Perkara 11 UUTKNS 1959,” kata mereka.

Kenyataan tersebut turut mengecam sebarang usaha pihak tertentu yang cuba mencabuli prerogatif dan hak perlembagaan mereka sebagai pembesar adat di negeri itu.

Pembesar adat berkenaan turut mengingatkan Perdana Menteri dan Jabatan Peguam Negara (AGC) agar tidak mencampuri urusan pemerintahan Negeri Sembilan khususnya berkaitan prerogatif Undang Yang Empat di bawah Perkara 10 dan 11 UUTKNS 1959.

Undang Yang Empat dan Tunku Besar Tampin turut meminta pihak luar tidak mengambil kesempatan terhadap perkembangan itu atau memutarbelitkan mandat rakyat sehingga mengeluarkan komen terhadap kerajaan negeri, institusi adat dan pemerintahan Negeri Sembilan.

“Kami juga menegaskan supaya semua pihak luar yang tiada kena-mengena dengan hal adat Melayu dan pemerintahan kerajaan negeri ini terutamanya parti politik pembangkang untuk tidak menangguk di air keruh dan memutarbelitkan mandat rakyat sehingga mengeluarkan komen jelek terhadap kerajaan negeri dan institusi adat serta pemerintahan negeri.

“Adat yang telah diamalkan ini telah berlangsung lebih daripada 500 tahun, sudah tentulah kami selaku Pemerintah dan Ketua Adat lebih memahami apa yang berlaku. Hanya jauhari mengenal manikam,” kata mereka.-UTUSAN.

The post MB dan Exco ditohmah dalam isu turun takhta Yang di-Pertuan Besar appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved