
SHANGHAI, 22 SEPT: Dato' Menteri Besar Selangor, Dato' Seri Amirudin mengadakan lawatan ke Shanghai Electric Drive Co., Ltd. (Shanghai Edrive) hari ini bagi meneroka potensi kerjasama dalam pembangunan teknologi kenderaan elektrik (EV).
Lawatan tersebut turut disertai delegasi Kerajaan Negeri Selangor bersama wakil MARii dan MIDA Shanghai, termasuk syarikat tempatan Sapura Industrial Berhad.
Shanghai Edrive merupakan antara peneraju dalam pembangunan motor, inverter serta sistem kuasa elektrik (eDrive) yang digunakan dalam elektrifikasi kenderaan.
Syarikat berkenaan terkenal dengan kepakaran menghasilkan teknologi powertrain berprestasi tinggi, efisien serta menawarkan prestasi unggul dari segi bunyi, getaran dan kekasaran (NVH).
Delegasi turut berpeluang meninjau kemudahan pembuatan yang merangkumi pusat pameran sampel, pusat ujian, barisan pemasangan SMT & inverter, barisan pemasangan powertrain serta barisan pembuatan rotor, stator dan hair pin.
“Pertemuan ini membolehkan Selangor memahami secara langsung teknologi eDrive sebagai sebahagian daripada rantaian hiliran nadir bumi, selaras usaha memperkukuh ekosistem EV negeri,” kata Amirudin.
Beliau menegaskan kekuatan Selangor sebagai destinasi pelaburan terbaik di Asia Tenggara dengan infrastruktur bertaraf dunia, bakat tempatan berkemahiran serta dasar mesra pelabur.
“Kerajaan Negeri komited menjadikan Selangor sebagai hab utama mobiliti elektrik serantau, sekali gus membuka lebih banyak peluang pekerjaan berkemahiran tinggi,” ujarnya.
Lawatan ini merupakan sebahagian daripada misi perdagangan dan pelaburan Selangor ke China bagi memperluas jaringan strategik dan memperkukuh kedudukan negeri dalam ekonomi hijau.
Awal hari ini, delegasi turut melawat StarPower Semiconductor Ltd, yang memaklumkan sedang menilai lokasi operasi di Malaysia dengan jumlah pelaburan mencecah RM200 juta, dengan Selangor diyakini memiliki semua kelebihan strategik untuk menarik pelaburan syarikat peneraju global dalam teknologi modul kuasa itu.
Amirudin sedang mengadakan lawatan kerja rasmi ke China selama sembilan hari bermula hari ini. Delegasi turut disertai antaranya EXCO Pelaburan, Perdagangan dan Mobiliti, Ng Sze Han; Ketua Pengarah Eksekutif Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI, Dato’ Ts. Saipolyazan M Yusop; Ketua Yayasan MBI, Ahmad Azri Zainal Nor; Ketua Pegawai Eksekutif Invest Selangor Berhad, Dato’ Hasan Azhari Haji Idris; serta Ketua Pegawai Eksekutif SIDEC, Yong Kai Ping.



