
SHAH ALAM, 27 MEI: Warga pendidik memainkan peranan penting dalam memastikan generasi akan datang kekal berbudi pekerti dan berakhlak biarpun negara dipacu teknologi.
Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata perkembangan moden antaranya teknologi kecerdasan buatan (AI) tidak mampu mencapai sekali gus mendidik generasi berperasaan.
“Menjelang 32 tahun lagi, Malaysia akan mencapai usia 100 tahun… menerusi usia itu kita akan lihat penduduknya dengan melihat bagaimana pengajaran dan didikan yang dilaksana sekarang.

“Oleh itu, cabaran pada kini besar terutama kemunculan AI. Jika memahami situasi dan perubahan terkini, kita dapat pastikan beberapa perkara baik seperti akhlak dan budi pekerti yang tidak dapat dididik oleh AI mahupun ChatGPT.
“Ini yang saya tegaskan kepada guru-guru bahawa peranan mereka masih diperlukan dan penting kerana berdepan dengan persimpangan antara aspek kemanusian dan kemajuan permodenan,” katanya selepas merasmikan sambutan Hari Guru Jabatan Agama Islam Selangor hari ini.
Sementara itu, penerima Anugerah Khas Tokoh Guru dan Perguruan Pendidikan Islam Selangor 2025 Prof Dato’ Dr Mujaini Tarimin berkata pengiktirafan diterima itu adalah kerjasama semua pihak termasuk pengurusan sekolah dan rakan-rakan seperjuangan.

“Setiap hari ada cabaran dan sebagai pendidik kita tidak boleh lari daripada berdepan malah perlu menyelesaikannya supaya mengelak sebarang masalah pada masa akan datang.
“Nasihat saya pada warga pendidik jangan jemu mencari ilmu dan menyampaikannya pada generasi kita selain sentiasa bertindak rasional,” ujarnya yang kini merupakan ahli lembaga pengelola Universiti Islam Selangor:
Bagi Zuliah Abd Kadir yang menerima Anugerah Tokoh Guru (Perempuan) berkata peranan guru amat penting terutama dalam memastikan anak didikan mencapai kejayaan.

“Kita gembira apabila anak murid berjaya tetapi pada masa kini tanggungjawab sebagai pendidik sekarang mencabar dan perlu pastikan tidak lari daripada landasan.
“Jadi guru memerlukan motivasi lebih tinggi untuk menghadapi anak-anak pada masa kini,” kata anak kelahiran Sabak Bernam itu.
The post MB: Guru berperanan bantu generasi akan datang kekal berbudi pekerti appeared first on Selangorkini.




