MB jelaskan kos RM787 juta untuk baik pulih stadium, kemudahan

18 Jul 2022 • 12:01 PM MYT
Media Selangor
Media Selangor

Berita dan isu semasa, inklusif untuk semua.

image is not available

SHAH ALAM, 18 JULAI: Dato’ Menteri Besar menjelaskan kos RM787 juta bukan untuk membina stadium baharu sebaliknya bagi membaik pulih bangunan dan kemudahan lain.

Menurut Dato’ Seri Amirudin Shari, kos itu agak besar berikutan kerja termasuk meninggikan platform stadium 1.5 meter bagi mengelak bah berulang dan menukar sistem pendawaian elektrik.

Beliau menambah kiraan lain meliputi penukaran struktur bumbung dan meruntuhkan yang sedia ada selain pembaikan padang serta membaiki sistem perpaipan.

“Dan ia bukan hanya kos bagi Stadium Shah Alam sahaja, namun turut melibatkan Stadium Tertutup Malawati yang berada di kawasan sama,” katanya di Facebook hari ini.

Amirudin menjelaskan polemik isu Stadium Shah Alam (SSA) dan kedaifan bangunan itu dilihat sendiri ketika menjadi EXCO sukan dan banyak memberi kenangan untuk pasukan Bola Sepak Selangor.

“Isu dan keadaan SSA amat dekat di hati saya, tambahan pula kenangan dan memori memenangi Piala Malaysia terakhir bersama pasukan Merah Kuning di sini,” katanya.

image is not available

Beliau turut memahami keluhan dan kekecewaan peminat bola sepak serta rakyat negeri ini dengan keadaan stadium namun bah besar pada 2006, 2015 dan 2021 mengakibatkan kerosakan.

Tambahnya lagi, Kerajaan Negeri membelanjakan RM56 juta sejak 2013 bagi membaik pulih SSA antaranya bumbung, bilik persalinan, sistem pendawaian elektrik serta saliran air.

“Oleh kerana saiznya yang besar serta kebanyakan bahan gantian mahal, kos menyelenggara semakin meningkat. Dijangka kos keseluruhan bagi membaik pulih fasiliti mencecah RM787 juta.

“Ini adalah berdasarkan laporan serta kajian terperinci yang terbaru pada tahun lalu,” jelasnya.

Pada 15 Julai, Amirudin berkata pembaikan semula kompleks stadium oleh Malaysian Resources Corporation Berhad (MRCB) bermula awal tahun depan dan dijangka siap pada 2026.

image is not available