
JOHOR BAHRU - Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi sempat membantu mangsa kemalangan di Jalan Danga Bay, berhampiran Country Garden, selepas pulang daripada meninjau jalan raya di Senai dan Skudai, pagi tadi.
Dalam kejadian 8.49 pagi itu, menteri besar dilihat bersama-sama anggota bomba membantu seorang lelaki yang terlibat dalam kemalangan, menerusi beberapa keping gambar yang tular di media sosial.
Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Larkin Pegawai Bomba Kanan II Azmi Johar berkata seramai 11 anggota dan sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT), satu Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dan tiga Unit Rapid Intervention Motorcycle (RIM) dikejarkan ke lokasi kejadian.
“Kemalangan tersebut melibatkan seorang lelaki yang cedera selepas motosikal jenis Honda 150R yang ditunggang terbabas dan melanggar sebuah kereta,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata pihaknya mengeluarkan mangsa daripada bawah kereta sebelum menghantarnya ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) untuk rawatan lanjut.
Operasi tamat sepenuhnya pada 9.16 pagi. - Bernama

