MB Johor mohon PM pertimbang moratorium untuk mangsa banjir

7 Mar 2023 • 7:24 AM MYT
The Sun Daily
The Sun Daily

For the latest news and features from Malaysia and the rest of the world.

image is not available
Ihsan gambar: Onn Hafiz Ghazi FB

image is not available

JOHOR BAHRU: Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi (gambar) memohon Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mempertimbang moratorium sekurang-kurangnya tiga hingga enam bulan diberikan kepada mangsa yang terjejas akibat banjir.

Beliau berkata ini bagi memberikan sedikit kelegaan kepada mereka yang kerugian harta benda dalam bencana itu.

“Besar harapan kerajaan negeri agar mangsa banjir boleh diberikan sedikit kelegaan dari segi moratorium dalam tempoh yang saya sebutkan.

“Bencana sebegini sudah tentu memberikan impak kewangan yang cukup besar kepada mereka. Ada yang kerosakan harta benda seperti kereta, perabot, alatan elektrik dan sebagainya,“ katanya dalam hantaran di laman Facebook malam semalam.

Onn Hafiz berkata ada juga mangsa yang mengalami kerugian hasil tanaman dan binatang ternakan.

Beliau berkata rakyat Johor terpaksa berdepan ujian bencana banjir yang amat mencabar bukan hanya sekali tetapi dua kali pada tahun ini sahaja.

Kali pertama Johor dilanda banjir ialah dari 24 Jan hingga 10 Feb lepas yang melibatkan lapan daerah dengan lebih 5,000 penduduk terjejas.

Negeri itu sekali lagi dilanda banjir pada 1 Mac lepas dan setakat 8 malam tadi, Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri memaklumkan 40,129 orang masih berada di pusat pemindahan sementara. -Bernama