MB: Pendidikan jadi keutamaan negeri, bantu tingkat taraf hidup rakyat

LocalPolitics
4 Oct 2026 • 5:11 PM MYT
Media Selangor
Media Selangor

Berita dan isu semasa, inklusif untuk semua.

MB: Pendidikan jadi keutamaan negeri, bantu tingkat taraf hidup rakyat

SHAH ALAM, 4 OKT: Pendidikan menjadi antara pendekatan utama Selangor dalam usaha membasmi kemiskinan dan meningkatkan taraf hidup rakyat, terutama keluarga berpendapatan rendah.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata akses kepada pendidikan berkualiti membolehkan pelajar membina keupayaan, memperoleh pekerjaan lebih baik dan memutuskan kitaran kemiskinan antara generasi.

Menurutnya, antara inisiatif yang dilaksanakan termasuk Program Tuisyen Rakyat Selangor (PTRS) serta sokongan bagi melanjutkan pengajian ke institusi pendidikan tinggi.

“Selangor mahu memastikan kekangan kewangan tidak menghalang potensi anak-anak negeri ini. Peluang pendidikan ini perlu disusuli dengan penguasaan kemahiran dan akses kepada pekerjaan bergaji lebih tinggi.

Image from: MB: Pendidikan jadi keutamaan negeri, bantu tingkat taraf hidup rakyat
Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari bergambar bersama peserta selepas menghadiri Forum Ekonomi Belia 2026 anjuran Perdana Fellows Alumni Association (PFAA). Foto Facebook Amirudin Shari

"Pendekatan ini juga menjadi sebahagian daripada agenda Rancangan Selangor Kedua (RS-2), dengan menyediakan 100,000 pekerjaan bergaji lebih tinggi. Ini mencerminkan hasrat supaya pertumbuhan ekonomi membuka peluang kepada rakyat untuk memperbaiki kehidupan,” katanya menerusi Facebook.

Beliau turut menekankan keperluan membangunkan indeks upah wajar yang mengambil kira perbezaan kos sara hidup mengikut lokaliti.

Menurutnya, ukuran yang mencerminkan keadaan sebenar rakyat dapat membantu kerajaan merangka perlindungan sosial yang lebih berkesan.

Terdahulu, Amirudin menjadi panel di program Forum Ekonomi Belia 2026 anjuran Perdana Fellows Alumni Association (PFAA).

Forum itu menghimpunkan anak muda bersama pembuat dasar, pemimpin industri dan ahli akademik bagi membincangkan hala tuju ekonomi serta kesejahteraan rakyat.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved