
Kangar – Tindakan menembak haiwan yang halal dimakan sebelum disembelih adalah dibenarkan dalam keadaan tertentu, khususnya jika haiwan tersebut sukar ditangkap dan berpotensi mendatangkan bahaya.
Mufti Perlis, Datuk Dr. Mohd Asri Zainul Abidin berkata, syarak membenarkan haiwan yang tidak dapat ditangkap untuk disembelih terlebih dahulu dipanah atau ditembak bagi melumpuhkannya.
Menurut beliau, kaedah sama turut terpakai dalam aktiviti pemburuan yang menggunakan haiwan pemburu seperti anjing.
“Binatang yang boleh dimakan, yang tidak dapat ditangkap untuk disembelih, boleh dipanah atau ditembak terlebih dahulu. Bahkan boleh menggunakan haiwan buruan seperti anjing untuk menangkapnya.
“Dibaca Bismillah sebelum melancarkan. Jika panah atau peluru atau gigitan telah mematikan haiwan tersebut, maka boleh dimakan.
“Jika belum mematikan, hendaklah disembelih seperti biasa,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Lembu Mengamuk Undang Risiko Kepada Petugas
Menurut laporan Utusan Malaysia, kenyataan itu hadir susulan video tular yang memaparkan Menteri Besar Perlis, Abu Bakar Hamzah menembak seekor lembu yang mengamuk ketika Program Korban Perdana Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Perlis semalam.
Mengulas perkara itu, Abu Bakar menjelaskan tindakan tersebut diambil bagi mengelakkan risiko kecederaan kepada petugas dan orang awam selepas haiwan berkenaan terlucut daripada ikatan dan bertindak agresif.
Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Perlis itu, tembakan hanya dilepaskan ke bahagian kaki lembu berkenaan bagi melumpuhkannya sebelum proses penyembelihan dijalankan mengikut prosedur biasa.
“Kita buat program korban membabitkan 25 ekor lembu. Hanya seekor yang talinya terlepas lari dan mengamuk, jadi kita terpaksa hentikanlah daripada mengelak sebarang mudarat atau bahaya kepada petugas atau orang ramai.
“Seekor lembu itu yang kita tembak tidak mati, ia dilepaskan mengenai kaki dan kemudian kita melakukan proses penyembelihan seperti biasa. Saya sudah sembelih 24 ekor lembu, yang satu ini sahaja kita tembak di kaki sebelum sembelih,” katanya.
Beliau berkata, tindakan itu juga dibuat sebagai langkah pencegahan bagi mengelakkan kejadian tidak diingini seperti beberapa insiden di lokasi lain yang dilaporkan mengakibatkan kecederaan serius dan kematian akibat ditanduk lembu.
Video kejadian tersebut sebelum ini tular di media sosial dan mencetuskan pelbagai reaksi dalam kalangan netizen. – The Malaysian Update
The post Mb Perlis Jelas Tindakan Tembak Lembu Mengamuk, Mufti Kata Dibenarkan Dalam Keadaan Tertentu appeared first on The Malaysian Update.



