MB Perlis Letak Jawatan, Beri Alasan Masalah Kesihatan

LocalPolitics
25 Dec 2025 • 8:15 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available

KUALA LUMPUR - Menteri Besar Perlis, Mohd Shukri Ramli, hari ini mengumumkan peletakan jawatan, berkuat kuasa serta-merta.

Memberikan alasan kesihatan sebagai faktor, Mohd Shukri  memberitahu, keputusan berkenaan dibuat secara sukarela. 

Menurutnya, peletakan jawatan itu juga tidak menjejaskan kedudukan beliau sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sanglang. 

Terdahulu, Mohd Shukri menghadap Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail, di Wad Diraja Hospital Tuanku Fauziah sebelum menyerahkan surat peletakan jawatan tersebut.

“Saya telah mempersembahkan kepada Tuanku hasrat saya melalui sepucuk surat peletakan jawatan sebagai Menteri Besar secara sukarela, berkuat kuasa hari ini. 

“Keputusan ini dibuat berikutan keadaan kesihatan saya yang sejak kebelakangan ini tidak mengizinkan saya meneruskan tugas,” katanya pada sidang media di Kediaman Rasmi Menteri Besar Perlis di Kangar, hari ini. 

Jelasnya, peletakan jawatan itu hanya melibatkan jawatan sebagai ketua kerajaan negeri.

“Saya kekal sebagai ADUN Sanglang dan akan kembali memberi khidmat sepenuhnya kepada rakyat di kawasan saya,” katanya sambil merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang telah membantu sepanjang beliau mentadbir negeri berkenaan.

Mohd Shukri, yang juga bekas Pesuruhjaya PAS Perlis, dilantik sebagai Menteri Besar Perlis ke-11 pada 22 November 2022.

Pelantikannya mencatat sejarah apabila menjadi pemimpin pertama Perikatan Nasional (PN) mengambil alih pentadbiran negeri daripada Barisan Nasional (BN) yang mentadbir Perlis selama 65 tahun.

Perlis ketika ini berdepan ketegangan politik, susulan dakwaan penyerahan akuan bersumpah beberapa ADUN PAS dan BERSATU kepada Raja Perlis Jumaat lalu, bagi menyatakan penarikan sokongan terhadap kepimpinan Mohd Shukri.

Perkembangan tersebut membawa kepada satu mesyuarat khas di Ibu Pejabat PAS di Jalan Raja Laut di sini semalam, seperti disahkan oleh Pengerusi PN Perlis, Datuk Seri Shahidan Kassim, yang juga Timbalan Pesuruhjaya III PAS Perlis.

Susulan mesyuarat, Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang mengumumkan penyingkiran keahlian tiga ADUN Perlis serta-merta mengikut Klausa 76 dan 15A(1)(b) Perlembagaan PAS (Pindaan 2025).

Tiga wakil rakyat yang terlibat ialah Saad Seman (Chuping), Fakhrul Anwar Ismail (Bintong) dan Mohd Ridzuan Hashim (Guar Sanji).

Sementara itu, Yang Dipertua DUN Perlis, Rus’sele Eizan berkata, pihaknya akan mengemukakan permohonan rasmi kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk mengadakan pilihan raya kecil bagi ketiga-tiga kerusi tersebut, susulan kekosongan luar biasa yang menjejaskan majoriti kerajaan negeri.

Beliau berkata, pemberitahuan rasmi telah diterima daripada Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan, berikutan keputusan Jawatankuasa Kerja Pusat parti itu.

“Setelah meneliti perkembangan berkaitan, saya berpuas hati bahawa kekosongan luar biasa telah berlaku dan memenuhi keperluan Perkara 50A(1)(a)(ii) Perlembagaan Negeri Perlis bagi ketiga-tiga kawasan tersebut,” katanya.

Rus’sele memaklumkan, notis bertulis mengenai kekosongan berkenaan telah diterima daripada ADUN Beseri, Haziq Asyraf Dun, selaras dengan Perkara 50A(3) Perlembagaan Negeri Perlis.

Walaupun pilihan raya kecil lazimnya tidak diadakan selepas tempoh tiga tahun persidangan DUN, beliau berpandangan keadaan semasa memerlukan pengecualian.

“Walaupun penggal kerajaan negeri telah melepasi tempoh matang pada 18 Disember, saya berpandangan pilihan raya kecil perlu diadakan bagi mengisi kekosongan ini kerana ketiadaan wakil baharu akan memberi kesan terhadap majoriti DUN,” katanya.

Jelasnya, jumlah ADUN akan berkurangan kepada 12 orang, termasuk seorang daripada Pakatan Harapan, berbanding 15 sebelum ini, dengan sembilan kerusi dipegang oleh PAS. 

Keadaan itu katanya, akan mengurangkan majoriti PAS kepada enam kerusi berbanding lima milik BERSATU.

“Saya berpuas hati bahawa ketiga-tiga kekosongan ini menjejaskan kedudukan majoriti Dewan Undangan Negeri dan mewujudkan keadaan yang boleh menjejaskan kestabilan kerajaan negeri. 

“Demi kepentingan kestabilan pentadbiran dan bagi memastikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat, kekosongan ini wajar diisi,” katanya.

Sehubungan itu, Rus’sele berkata, beliau akan menggunakan budi bicara di bawah Perkara 55(5) Perlembagaan Negeri Perlis untuk memaklumkan secara rasmi kepada SPR.

"Saya akan memohon agar pilihan raya kecil diadakan bagi mengisi kekosongan luar biasa tersebut," katanya. - Getaran, 25 Disember 2025