
OLEH AZIAN AZIZ
GOMBAK, 19 OGOS: Dato’ Menteri Besar beramah mesra dengan orang ramai dan bersarapan di medan selera tingkat 1, Pasar Pagi Selayang Baru pagi ini.
Dato’ Seri Amirudin Shari yang tiba kira-kira 9.10 pagi diiringi Yang Dipertua Majlis Perbandaran Selayang Dato’ Mohd Yazid Sairi, Setiausaha Politik Kawasan Dato’ Menteri Besar Rahim Kasdi.

Ahli Parlimen Gombak itu kemudian menikmati apam tepung beras dicicah santan dan teh tarik bersama Mohd Yazid serta beberapa penduduk.
Beliau yang meluangkan masa kira-kira 50 minit di pasar pagi tersebut turut memenuhi permintaan orang ramai yang ingin berswafoto bersamanya.

Beliau sempat membeli ayam kampung dan ikan kembung ketika melawat peniaga pasar di tingkat bawah.
Sementara itu pemilik kedai makanan selera S. Nedumaran memberitahu apam tepung beras memang sarapan kegemaran Amirudin.
“Bila datang ke pasar pagi Dato’ Seri mesti pesan apam untuk sarapan,” katanya yang berbesar hati kerana sajiannya menjadi pilihan Dato’ Menteri Besar.
The post MB sarapan, beramah mesra dengan orang ramai di pasar Selayang Baru appeared first on Selangorkini.
