Orang ramai berkumpul tunggu jenazah Muhamad Hafiz

19 Aug 2023 • 1:59 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Kaum wanita berkumpul di luar masjid sementara menanti jenazah Muhamad Hafiz tiba di Masjid Al Huda Kampung Jerong.

image is not available
Liang lahad sudah digali kira-kira jam 9 pagi menggunakan jengkaut.

SUNGAI PETANI - Orang ramai mula memenuhi pekarangan Tanah Perkuburan Masjid Al Huda Kampung Jerong di sini sejak jam 12 tengah hari pada Sabtu bagi menanti ketibaan jenazah penghantar makanan, Muhamad Hafiz Muhamad Salleh, 32.

Penduduk Taman Sidam Kiri, Mohd Nazri Jamaludin, 49, berkata, anak kariah masjid mula bergotong royong menyediakan makanan sejak awal pagi.

Katanya, liang lahad juga sudah digali kira-kira jam 9 pagi menggunakan jengkaut yang mengambil masa lebih kurang sejam.

"Di sini ada khairat kematian, jadi selepas dimaklumkan jenazah akan dibawa balik, kami bahagi tugas masing-masing.

"Khemah pun sudah dipasang, Alhamdulillah semuanya berjalan dengan baik," katanya ketika ditemui di sini pada Sabtu.

Sementara itu saudara Allahyarham, Badli Mohd Razali, 41, dia merasa bersyukur kerana urusan bedah siasat yang dijalankan di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) berakhir dengan cepat.

"Kami bersyukur jenazah Allahyarham dapat dibawa pulang lebih awal," katanya yang menetap di Baling.

Jenazah Muhamad Hafiz dibawa pulang dari Jabatan Forensik HTAR kira-kira jam 10 pagi dan dijangka tiba di tanah perkuburan Kampung Jerong di sini selepas Zohor.

Pada, Khamis 10 mangsa disahkan terkorban dalam nahas pesawat Beechcraft Model 390 (Premier 1) nombor pendaftaran N28JV.

Mangsa terdiri daripada lapan penumpang dan kru pesawat, selain dua orang awam iaitu penunggang motosikal dan pemandu kereta yang kebetulan berada di lokasi nahas.

Turut terbabit dalam tragedi itu, Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Negeri Pahang, Datuk Seri Johari Harun.

ARTIKEL BERKAITAN