MB: Sebulan lagi SUKMA 2026, Selangor pastikan persiapan ikut jadual

16 Jul 2026 • 7:00 PM MYT
Media Selangor
Media Selangor

Berita dan isu semasa, inklusif untuk semua.

MB: Sebulan lagi SUKMA 2026, Selangor pastikan persiapan ikut jadual

SHAH ALAM, 16 JULAI: Kerajaan Negeri memberi jaminan semua persiapan bagi penganjuran Sukan Malaysia (SUKMA) XXII Selangor 2026 berjalan mengikut jadual dengan keutamaan diberikan kepada kesiapsiagaan infrastruktur dan venue pertandingan menjelang pembukaan temasya itu pada 15 Ogos depan.

Dato' Menteri Besar Dato' Seri Amirudin Shari berkata perkara itu menjadi fokus utama Mesyuarat Jawatankuasa Pengelola (Induk) SUKMA XXII dan Para SUKMA Selangor 2026 yang dipengerusikannya hari ini, bersempena genap sebulan sebelum temasya sukan terbesar negara itu membuka tirai.

Beliau berkata mesyuarat turut meneliti penyelarasan aspek pengurusan bagi memastikan setiap perancangan penganjuran berjalan lancar.

"Keutamaan Kerajaan Negeri ketika ini adalah memastikan semua kemudahan dan prasarana disiapkan mengikut perancangan kerana aspek ini akan menjadi penentu kejayaan penganjuran SUKMA 2026," katanya menerusi hantaran di Facebook.

Menurut Amirudin, SUKMA XXII Selangor 2026 dijangka menjadi edisi terbesar pernah dianjurkan dengan penyertaan lebih 15,000 atlet dan pegawai mewakili 14 negeri serta Wilayah Persekutuan.

Katanya, temasya itu dijadual mempertandingkan 28 sukan teras, manakala lima lagi sukan tambahan sedang dimuktamadkan, menjadikan keseluruhan sehingga 33 jenis sukan.

Beliau yakin kerjasama erat antara Kerajaan Negeri, Majlis Sukan Negara, pihak berkuasa tempatan, agensi berkaitan dan sekretariat penganjur mampu memastikan SUKMA serta Para SUKMA Selangor 2026 berlangsung lancar.

"Insya-Allah, Selangor komited untuk menjadi tuan rumah yang terbaik dan memastikan SUKMA XXII dan Para SUKMA Selangor 2026 meninggalkan legasi yang membanggakan buat negeri dan negara," katanya.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved