

AMPANG JAYA, 27 JULAI: Penganjuran sukan jawatankuasa penduduk (JKP) adalah ejen paling mudah membentuk perpaduan sekali gus dapat mendekatkan diri dengan masyarakat setempat.
Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata dengan adanya program tersebut komuniti prihatin juga dapat dibentuk selain membina kepercayaan masyarakat.
“Pelbagai aduan diterima JKP daripada isu kutipan sampah, parkir, jalan berlubang, anjing liar sehingga pembinaan jalan raya baharu yang mana akan disampaikan kepada pihak berkuasa tempatan (PBT).

“Jadi, menerusi kejohanan seperti ini ia dapat merapatkan hubungan, dekatkan diri dengan komuniti dan masyarakat setempat. Sukan menjadi ejen paling mudah membentuk perpaduan dalam kalangan masyarakat.
“Inilah proses yang dapat menyatukan komuniti antara PBT, ahli JKP kerana semua ini merupakan muka hadapan mewakili Kerajaan Negeri dan persekutuan. Sikap (keprihatinan) menentukan masa depan dan persepsi masyarakat secara keseluruhannya,” katanya.
Beliau berucap pada majlis perasmian kejohanan sukan JKP Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) di The Campus di sini hari ini.

Turut hadir, Ahli Dewan Negeri Bukit Antarabangsa Mohd Kamri Kamaruddin, Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Hulu Kelang Juwairiya Zulkifli dan Yang Dipertua MPAJ Hasrolnizam Shaari.
Sementara itu, Hasrolnizam berkata kejohanan kali ke-15 tahun ini memperkenalkan dua sukan baharu iaitu pickleball dan e-sukan.
“Penganjuran sukan kali ini kita pertanding 12 acara termasuk dua sukan baharu yang semakin menjadi tarikan pada masa kini iaitu pickleball dan e-sukan.
“Terima kasih atas kerjasama semua pihak dan kita sasar kejohanan ini tamat 10 Ogos depan,” katanya.


The post MB: Sukan langkah terbaik bentuk perpaduan, bina jaringan rakyat, kerajaan appeared first on Selangorkini.

