MB: Tindakan segera termasuk roboh penempatan haram Kampung Budiman

LocalPolitics
28 Jul 2026 • 9:00 PM MYT
Media Selangor
Media Selangor

Berita dan isu semasa, inklusif untuk semua.

MB: Tindakan segera termasuk roboh penempatan haram Kampung Budiman

SHAH ALAM, 28 JULAI: Dato’ Menteri Besar mengarahkan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) mengambil tindakan segera terhadap penempatan haram di Kampung Budiman, Setia Alam termasuk perobohan sekiranya didapati struktur terbabit menceroboh tanah kerajaan.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata tindakan itu perlu dilaksanakan sebagaimana diputuskan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Kerja Keselamatan Negeri Selangor yang berlangsung minggu lalu.

Beliau berkata MBSA telah dimaklumkan supaya melaksanakan tindakan segera susulan perkara itu dibangkitkan semula.

“Saya minta MBSA untuk laksanakan segera sebagaimana yang telah diputuskan dalam Mesyuarat Majlis Keselamatan Negeri baru-baru ini. Hari ini bila dibangkitkan saya sudah segera maklumkan kepada pihak terbabit.

“Saya percaya tindakan segera akan dilakukan terutama notis kepada tuan tanah,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Festival Turath Islami Selangor (FTIS) 2026 di sini, hari ini.

Beliau berkata, tindakan akan dilaksanakan selepas notis dikeluarkan kepada pihak berkaitan, bergantung kepada status pemilikan tanah berkenaan.

“Kalau tanah itu milik kerajaan sudah pasti kita akan laksanakan (perobohan). Tapi kalau milik persendirian, kita akan minta tuan tanah untuk laksanakan (perobohan) dan bagi ruang yang secukupnya untuk laksanakan.

“Saya baru dimaklumkan sebelum-sebelum ini, hal ini telah dibangkit, pernah diberikan notis dan sebagainya, tetapi kita akan ambil tindakan segera.

“Jadi kita akan ambil tindakan dan majlis keselamatan negeri baru-baru ini sudah bagi arahan yang jelas kepada pegawai daerah. Bukan warga asing sahaja, kalau ada pencerobohan di tanah kerajaan kita akan ambil tindakan,” katanya.

Sebelum ini, Jabatan Imigresen Malaysia memaklumkan sedang menyiasat dakwaan kewujudan perkampungan haram warga asing di sekitar kawasan itu, walaupun tindakan penguatkuasaan telah diambil awal April lalu.

Ketua Pengarahnya Datuk Zakaria Shaaban berkata operasi bersepadu melibatkan agensi berkaitan akan dijalankan sekiranya siasatan mendapati dakwaan itu benar.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved