Imigresen siasat dakwaan penempatan haram warga asing di Setia Alam

LocalPolitics
28 Jul 2026 • 10:00 PM MYT
Media Selangor
Media Selangor

Berita dan isu semasa, inklusif untuk semua.

Imigresen siasat dakwaan penempatan haram warga asing di Setia Alam

SHAH ALAM, 28 JULAI: Perkampungan haram dipercayai diduduki pendatang asing tanpa izin di Kampung Budiman, Setia Alam yang tular di media sosial, kini dalam radar Jabatan Imigresen Malaysia (JIM).

Ketua Pengarahnya Datuk Zakaria Shaaban berkata, pihaknya sedang menjalankan siasatan terperinci bagi mengesahkan dakwaan berhubung kewujudan penempatan haram tersebut sebelum sebarang tindakan penguatkuasaan diambil.

Munurutnya, JIM tidak akan bertindak melulu hanya kerana sesuatu isu menjadi tular di media sosial, sebaliknya setiap maklumat perlu disahkan terlebih dahulu melalui siasatan.

“Kita akan terus buat siasatan. Memang banyak perkara yang saya lihat setiap hari di media sosial. Tetapi kita tidak boleh hanya berdasarkan maklumat yang tular itu terus mengambil tindakan.

“Kita perlu buat siasatan dan kita kena pastikan apa yang tular itu adalah betul ataupun tidak dan sebagainya. Selepas itu, baru tindakan boleh diambil dan perkampungan itu dalam siasatan juga,” katanya, lapor Kosmo! Online.

Image from: Imigresen siasat dakwaan penempatan haram warga asing di Setia Alam
Ketua Pengarah Imigresen Datuk Zakaria Shaaban ketika ditemui pada sidang media di sebuah lokasi serbuan sekitar Jalan Kenaga, Kuala Lumpur pada 13 Julai 2026. Foto BERNAMA

Pada masa sama, Zakaria memaklumkan pihaknya tidak menolak kemungkinan melaksanakan operasi bersepadu bersama pihak berkuasa tempatan (PBT), Pejabat Tanah dan Daerah (PTD) serta agensi penguat kuasa berkaitan jika siasatan mendapati dakwaan tersebut berasas.

“Tindakan yang akan diambil bergantung kepada bidang kuasa setiap agensi kerana kesalahan membina penempatan haram bukan terletak di bawah bidang kuasa imigresen semata-mata.

“Bidang kuasa kita kena lihat juga. Contohnya kesalahannya mendirikan rumah atau penempatan itu, di luar bidang kuasa imigresen. Kita mungkin akan buat operasi secara bersepadu bersama agensi lain seperti PBT, PTD. Semua itu, kita akan ambil kira,” jelasnya.

Sebelum ini, tular video di aplikasi Thread memaparkan perkampungan pendatang asing tanpa izin warga Indonesia yang berkembang tanpa gangguan JIM di Kampung Budiman, Setia Alam.

Media turut melaporkan lokasi tersebut pernah diserbu dan dikenakan tindakan penguatkuasaan sebelum ini. Bagaimanapun, warga asing dipercayai kembali membuka penempatan baharu berhampiran lokasi asal.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved