SHAH ALAM, 11 MAC: Kadar penglibatan wanita dalam sektor pekerjaan di Selangor mencapai 69.7 peratus sekali gus melebihi sasaran yang ditetapkan di peringkat nasional.
Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata selain dipengaruhi keperluan dan bakat, peningkatan jumlah penglibatan wanita itu juga disumbang oleh faktor tekanan ekonomi yang menuntut pasangan suami isteri bekerja.

“Kebanyakan wanita terlibat dalam sektor pembuatan dan perkhidmatan. Cuma sektor kritikal seperti kejuruteraan masih lagi kurang wanita dan kita masih memerlukan.
“Bagaimanapun dalam bidang kepimpinan, kita masih belum capai 30 peratus keterlibatan wanita. Sebagai contoh ahli majlis hanya 26 hingga 27 peratus sahaja wanita dan jawatan ketua kampung masih rendah,” katanya pada sidang media.
Beliau ditemui pada majlis pemeteraian kerjasama strategik antara Kerajaan Negeri dan Kementerian Sumber Manusia menerusi program Jelajah Wanita MyWira di Pusat Konvesyen Ideal (IDCC) di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Amirudin berharap sikap prejudis terhadap wanita khususnya dalam semua bidang pekerjaan dapat dihapuskan pada masa akan datang.
Menurutnya, Kerajaan Negeri telah melaksana pelbagai inisiatif secara berterusan sejak 2008 bagi memartabat dan memberi peluang yang seimbang wanita.
“Impian kita supaya ada satu pemikiran dalam masyarakat, hapuskan diskriminasi jantina dalam budaya kita. Sama seperti kita benci rasis dalam bola sepak, macam itu juga harapan saya pada masa depan,” katanya.
The post Selangor capai 69.7 peratus wanita bekerja, impi hapus diskriminasi jantina appeared first on Selangorkini.


