
SHAH ALAM, 7 MEI: Majlis Bandaraya diraja Klang digesa mempercepat pembinaan rancangan tebatan banjir (RTB) bagi mengelak kejadian banjir terus berulang di beberapa kawasan pentadbirannya.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADN) Pandamaran Tony Leong Tuck Chee berkata sebanyak 11 RTB sedang menunggu proses perolehan, namun beberapa langkah proaktif perlu diambil bagi memastikan kelancaran projek.
“Sebanyak 11 projek RTB sedang menunggu proses perolehan, sekiranya tenaga kerja untuk mengukur bahan tidak cukup mungkin boleh ditambah supaya kerja pun boleh berjalan lancar.
“Isu parit tidak bertuan pula adalah di bawah bidang kuasa Kerajaan Negeri. Ini merupakan isu besar tidak boleh masuk campur sesuka hati bimbang dikena tindakan undang-undang,” katanya kepada Media Selangor.

Sementara itu, ADN Kota Kemuning S Preakas berkata pihaknya mewujudkan pasukan khas bagi memantau projek RTB di kawasan berkenaan.
Pasukan khas dianggotai wakil persatuan penduduk, kawasan rukun tetangga setiap zon, ahli majlis, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Selangor serta pihak berkuasa tempatan.
“Kita memantau kerja tebatan banjir termasuk longkang tidak bertuan dan akan membawa perkembangan dari semasa ke semasa kepada penduduk.
“JPS juga sekarang sedang mengambil tindakan untuk membesarkan kolam takungan di Sri Muda sebagai persiapan menghadapi fasa peralihan monsun,” katanya.
Baru-baru ini, EXCO Infrastruktur Dato’ Ir Izham Hashim memaklumkan pihaknya kini sedang mempergiat untuk mengambil alih semua kolam tadahan tidak bertuan di negeri ini secara berperingkat.
Lebih 300 kolam tadahan di Selangor dikenal pasti tidak bertuan sekali gus menyukarkan kerja baik pulih dan penyelenggaraan dilaksana.

The post MBDK digesa percepat bina tebatan banjir, wujud pasukan khas pantau projek appeared first on Selangorkini.

