
OSAKA (Jepun), 9 MEI: Pelan Transformasi Strategik THRIVE28 yang diperkenal Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI menarik minat pemain industri di Ekspo Dunia Osaka 2025 untuk melabur di Selangor.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Dato’ Ts Saipolyazan Mat Yusop berkata pihaknya berkongsi visi MBI dalam pelan tersebut melibatkan hartanah dan pembangunan; tenaga dan utiliti; melalui sesi libat urus di ekspo bertaraf dunia itu.
“Melalui THRIVE 28, MBI tidak hanya menumpukan pelan perniagaan dalam hartanah, malah memerlukan syarikat-syarikat teknologi besar di Jepun datang ke Selangor untuk melabur.

“Ia untuk memenuhi visi Selangor menjadi Gedung Asia serta destinasi yang menarik dan sesuai untuk melabur,” katanya kepada Media Selangor.
Beliau ditemui selepas mengiringi lawatan Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah ke Muzium Panasonics Holdings Corporation di Osaka, semalam.
Dalam pada itu, Saipolyazan memaklumkan ekspo Osaka menjadi platform penting bagi mempromosikan kempen Tahun Melawat Selangor 2025 (TMS2025) untuk menarik kedatangan pelancong Jepun.
“MBI juga menampilkan Tourism Selangor untuk mempromosikan produk-produk pelancongan yang ada memandangkan Jepun merupakan antara lima negara utama pelancong tertinggi ke Malaysia.
“Harapan kami produk-produk yang diletakkan dan dibentangkan di Pavilion Malaysia serta Minggu Selangor dapat menarik lebih ramai pelancong Jepun untuk datang ke Selangor mencapai sasaran TMS2025 menarik kehadiran lapan juta pelancong,” ujarnya.

Pameran Minggu Selangor dengan membawa tema “Building a resilient future” menampilkan Selangor sebagai negeri masa depan yang berdaya saing, berhubung secara global dan dipacu oleh teknologi, budaya serta tenaga belia.
Program selama seminggu ini menampilkan Selangor sebagai negeri masa depan yang berdaya saing, berhubung secara global dan dipacu oleh teknologi, budaya serta tenaga belia.
Penyertaan Pavilion Malaysia yang bertemakan “Weaving a Future in Harmony” dalam ekspo ini merupakan sebahagian daripada strategi yang lebih meluas untuk meningkatkan kehadiran global dan perkongsian ekonomi negara.
The post MBI tarik pemain industri di ekspo Osaka melabur di Selangor appeared first on Selangorkini.


