
OSAKA, 9 MEI: Penganjuran Minggu Selangor menjadi platform penting mempromosi peluang perniagaan dan inisiatif Kerajaan Negeri terhadap pelabur berpotensi tinggi di Ekspo Osaka, Kansai 2025 di sini.
Ketua Pegawai Eksekutif Invest Selangor Datuk Hasan Azhari Idris berkata Forum Pelaburan Selangor (SIF) dikendalikan pihaknya turut menarik perhatian pemain industri untuk meneroka pasaran hingga ke Asia Tenggara.
“Selangor selaku hos kepada Pavilion Malaysia mengetengahkan pelbagai inisiatif yang dilaksanakan di negeri seperti keterjaminan makanan, digital ekonomi, tenaga diperbaharui, pelaburan dan digitalisasi.
“Minggu Selangor bukan sahaja mempromosikan peluang perniagaan malah mengetengahkan kebudayaan dan pelancongan.

“Pengisian merangkumi pelbagai aspek, mudah-mudahan segala usaha Invest Selangor di Ekspo Osaka ini memberikan impak besar untuk jangka masa panjang,” katanya ketika ditemui Media Selangor.
Hasan menambah tayangan perdana dokumentari “Menyingkap Keagungan: Hutan Warisan Diraja Selangor” di pameran Minggu Selangor turut menarik pemain industri untuk mempelajari pengurusan pentadbiran negeri memelihara hutan hujan.
“Pelabur melihat walaupun Selangor rancak dengan pembangunan moden tetapi pada masa sama kita tetap seimbangkan kemampanan pembangunan tersebut untuk menjaga hutan negeri,” ujarnya lagi.
Pameran Minggu Selangor dengan membawa tema “Building a resilient future” menampilkan Selangor sebagai negeri masa depan yang berdaya saing, berhubung secara global dan dipacu oleh teknologi, budaya serta tenaga belia.
Program selama seminggu itu menampilkan Selangor sebagai negeri masa depan yang berdaya saing, berhubung secara global dan dipacu oleh teknologi, budaya serta tenaga belia.
Penyertaan Pavilion Malaysia yang bertemakan “Weaving a Future in Harmony” dalam ekspo itu merupakan sebahagian daripada strategi yang lebih meluas untuk meningkatkan kehadiran global dan perkongsian ekonomi negara.


The post Minggu Selangor promosi peluang niaga, tarik perhatian pelabur di Ekspo Osaka appeared first on Selangorkini.
