MBPJ Tidak Naik Kadar Cukai Pintu

8 Jun 2024 • 5:00 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available
ADUN Kampung Tunku Lim Yi Wei.

KUALA LUMPUR - Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) tidak berhasrat untuk melaksanakan kenaikan kadar cukai taksiran buat masa ini kerana tidak mahu menambah beban rakyat.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kampung Tunku, Lim Yi Wei berkata, pihak berkuasa tempatan (PBT) itu buat masa ini membuat keputusan untuk mengekalkan kadar cukai taksiran sedia ada.

“Saya dimaklumkan MBPJ tidak akan menaikkan kenaikan cukai pintu buat masa ini.

“Biarpun difahamkan ada beberapa PBT di Selangor yang menaikkan cukai pintu mereka, tapi MBPJ kekalkan cukai taksiran iaitu kadar yang sama sejak 20 tahun lepas,” katanya kepada Getaran ketika ditemui di sini.

Beliau berkata demikian apabila diminta mengulas langkah beberapa PBT di Selangor antaranya di Selayang, Shah Alam dan Ampang yang melaksanakan kenaikan cukai taksiran.

Tindakan itu mengundang kemarahan rakyat negeri tersebut yang menyifatkan kenaikan sehingga 200 peratus itu amat membebankan.

Mengulas lanjut, Yi Wei berkata, beliau memahami kemarahan rakyat yang jelas tidak berpuas hati dengan tindakan berkenaan.

Bagaimanapun katanya, beliau optimis ia tidak akan menjadi isu terlalu besar buat rakyat jika kenaikan itu seiring dengan perkhidmatan terbaik daripada pihak PBT.

“Saya ingin tekankan perkhidmatan PBT telah berkembang sangat banyak. Untuk memberi perkhidmatan terbaik saya rasa semakan semula (kadar cukai) itu perlu ada,” katanya. - Getaran, 8 Jun 2024