MBSA kaji naikkan kadar kompaun, pemilik sewa lesen kepada warga asing disasar

LocalBusiness & Finance
27 Aug 2026 • 7:37 PM MYT
Media Selangor
Media Selangor

Berita dan isu semasa, inklusif untuk semua.

MBSA kaji naikkan kadar kompaun, pemilik sewa lesen kepada warga asing disasar

SHAH ALAM, 27 OGOS: Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) sedang mengkaji kenaikan kadar kompaun bagi kesalahan penjaja dan premis perniagaan bagi memastikan tindakan penguatkuasaan tidak dipandang ringan oleh pesalah.

Datuk Bandarnya, Dato’ Zabidah Safar berkata semakan itu turut mengambil kira trend peniaga yang memilih menunggu tawaran pengurangan sebelum menjelaskan kompaun, terutama bagi jumlah melebihi RM300.

Image from: MBSA kaji naikkan kadar kompaun, pemilik sewa lesen kepada warga asing disasar
Datuk Bandar Shah Alam, Dato’ Zabidah Safar ketika Mesyuarat majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) di Wisma Bandaraya Shah Alam (MBSA) pada 27 Ogos 2026. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/MEDIASELANGOR

“Isu yang dibangkitkan tadi, apabila kompaun lebih RM300, mereka tunggu untuk pengurangan. Memang setakat ini itulah trendnya.

“Kita di MBSA sendiri sudah adakan satu mesyuarat untuk melihat kadar baharu. Ini melibatkan Undang-Undang Kecil (UUK) Penjaja dan juga UUK Perdagangan kerana dalam UUK ini ditetapkan maksimum RM1,000 untuk kompaun. Jadi, kita akan lihat perkara ini untuk tindakan seterusnya,” katanya pada sidang media selepas Mesyuarat MBSA di sini hari ini.

Menurut Zabidah, kadar baharu yang dicadangkan akan mengambil kira mekanisme pengurangan supaya jumlah yang perlu dibayar pesalah selepas pengurangan masih berada pada tahap signifikan.

Katanya, semakan itu tidak terhad kepada kesalahan penjaja dan premis perniagaan, sebaliknya boleh diperluas kepada kesalahan lain di bawah UUK MBSA termasuk kesalahan meletakkan kenderaan.

Dalam pada itu, Zabidah berkata MBSA turut memberi perhatian kepada isu penjaja dan pengusaha premis warga asing, termasuk pemilik lesen yang menyewakan lesen perniagaan kepada warga asing.

“Bagi penjaja warga asing, kita tidak keluarkan kompaun tetapi tindakan sitaan akan dibuat dan barang atau peralatan dibawa ke stor MBSA,” katanya.

Image from: MBSA kaji naikkan kadar kompaun, pemilik sewa lesen kepada warga asing disasar
Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) bersama Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Selangor melaksanakan Operasi Bersepadu Penguatkuasaan ke atas premis perniagaan tanpa lesen sah serta perniagaan yang dikendalikan oleh bukan warganegara di Jalan Bukit Kemuning, Seksyen 32, Shah Alam pada 22 April 2026. Foto Facebook Majlis Bandaraya Shah Alam

Beliau berkata penjaja tempatan yang beroperasi tanpa lesen pula boleh dikenakan kompaun dan sitaan sekiranya terus berniaga selepas diarahkan menghentikan operasi.

“Sekiranya peniaga premis menggaji warga asing, kita terus mengeluarkan kompaun atas kesalahan melanggar syarat lesen.

“Manakala, untuk tindakan terhadap warga asing pula kita perlu bersama Jabatan Imigresen dan bagi kes tertentu kita boleh mengambil tindakan penutupan premis,” katanya.

Zabidah berkata MBSA turut mempertimbangkan penubuhan pasukan petugas khas bagi menyelaras tindakan terhadap pemilik premis yang menyewakan kedai kepada warga asing.

Katanya, penubuhan pasukan berkenaan antara lain akan meneliti bidang kuasa jabatan berkaitan supaya tindakan penguatkuasaan dapat dilaksanakan dengan lebih tersusun.

Mengenai cadangan kenaikan kadar kompaun, beliau berkata kertas cadangan akan dibincangkan di peringkat pengurusan sebelum dibawa ke Jawatankuasa Kewangan dan seterusnya untuk pengesahan dalam mesyuarat penuh MBSA.

“Kita jangka akan membawa kertas cadangan itu untuk pertimbangan dan kelulusan dalam tempoh terdekat,” katanya.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved