
SHAH ALAM, 29 JULAI: Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) mengeluarkan 5,191 kompaun terhadap penjaja tanpa lesen di bawah Undang-Undang Kecil Penjaja 2007 bagi tempoh Januari hingga Jun tahun ini.
Datuk Bandar Shah Alam, Dato' Zabidah Safar berkata tindakan itu merupakan sebahagian usaha berterusan pihak berkuasa tempatan berkenaan membanteras aktiviti perniagaan tanpa kelulusan di sekitar bandar raya.
Menurut beliau, Jabatan Penguatkuasaan MBSA turut melaksanakan 91 operasi dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini.
Daripada jumlah itu, 49 operasi khas dijalankan membabitkan penjaja warga asing yang didapati menjalankan perniagaan tanpa kebenaran.
Sepanjang tempoh sama, MBSA turut menyita 1,742 barangan milik penjaja yang didapati melanggar peraturan ditetapkan.

Zabidah berkata semua tindakan penguatkuasaan dilaksanakan mengikut prosedur yang ditetapkan.
“Penguatkuasaan dilaksanakan mengikut prosedur ditetapkan yang merangkumi siasatan, tindakan terhadap aduan, pengeluaran notis dan kompaun serta operasi rampasan dan penyitaan.
“Hasil semakan kita terdapat kesalahan berulang meski notis, kompaun dan tindakan penyitaan dilaksanakan. Ini kerana lokasi terbabit memberi pulangan lumayan serta menjadi tumpuan ramai,” katanya ditemui selepas Mesyuarat Penuh MBSA, semalam.
Bagi penjaja warga asing pula, Zabidah menegaskan tiada notis atau kompaun diberikan sebagai peluang kedua.
“Sebaliknya, tindakan sitaan akan terus dilaksanakan terhadap mereka yang didapati menjalankan perniagaan tanpa kebenaran, kita tidak akan berkompromi,” katanya.






