
SHAH ALAM, 22 NOV: Pasukan EX7 Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) merangkul anugerah emas di International Convention on QC Circle (ICQCC) 2022 yang diadakan di Jakarta, Indonesia.
Program yang dianjurkan dari 15 hingga 18 November 2022 itu disertai 328 peserta membabitkan 65 kumpulan inovasi mewakili 40 organisasi sektor awam dan swasta seperti Telekom Malaysia Berhad (TM), Proton, Petronas, Jabatan Kastam Diraja Malaysia dan Malaysian Airport Holding Berhad (MAHB).
MBSA dalam kenyataan hari ini berkata, peserta berkenaan dipilih oleh Malaysia Productivity Corporation (MPC).
“Ahli pasukan EX7 MBSA terdiri daripada pelbagai jabatan yang membawa ‘Sistem eMMASA’.
“Kumpulan EX7 ini diketuai Wan Suraya Sahabaludin dengan ahli terdiri daripada Maysarah Mohd Yusuf, Muhammad Fauzee Arippin, Najhan Pata Sairi, Hairuddin Saidan, Muhammad Yusob, Ahmad Fazelly Razali dan Mira Edreena Haris,” katanya.
Selain Malaysia, program yang diadakan di Mercure Convention Center Ancol, Jakarta itu turut disertai lebih 1,000 pasukan inovasi dari 13 negara antaranya China, Hong Kong, Jepun, India, Bangladesh, Singapura, Taiwan dan Mauritius.
The post MBSA rangkul anugerah emas di Jakarta appeared first on Selangorkini.

