MBSB Bank tawar pembiayaan pendidikan hingga RM500,000 melalui EduFin-i

4 Aug 2023 • 9:15 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

MBSB Bank tawar pembiayaan pendidikan hingga RM500,000 melalui EduFin-i

zulfadli

04/08/2023 - 09:15

KUALA LUMPUR 4 Ogos - MBSB Bank Bhd menawarkan produk pembiayaan pendidikan yang dinamakan Pembiayaan Pendidikan-i MBSB Bank (EduFin-i) sebagai salah satu pilihan sokongan kewangan kepada mereka yang berminat untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi.

EduFin-i oleh MBSB Bank yang berasaskan konsep Murabahah Komoditi memiliki cadangan penjualan unik (USP) yang menarik seperti tempoh pembiayaan maksimum sehingga 25 tahun dan jumlah pembiayaan sehingga RM500,000 dengan margin sehingga 95% daripada jumlah yuran pengajian.

Selain itu, EduFin-i juga membenarkan pemohon bersama yang boleh dipohon oleh dua ahli keluarga terdekat. EduFin-i juga dilengkapi dengan perlindungan takaful dan ansuran penuh yang hanya bermula selepas tamat tempoh pengajian.

Ketua Pegawai Eksekutif MBSB Bank, Datuk Nor Azam M Taib berkata, masyarakat yang berpendidikan mewujudkan tenaga kerja mahir dan cekap, yang penting untuk pertumbuhan ekonomi dan pembangunan negara.

Beliau berkata, pendidikan bukan sahaja memainkan peranan asas dalam membentuk keperibadian seseorang, malah meningkatkan kemahiran dan memupuk nilai murni.

Katanya, pendidikan juga boleh membebaskan individu dan keluarga mereka daripada kemiskinan, membuka pintu kepada peluang pekerjaan yang lebih baik serta peningkatan taraf hidup.

"Sebagai sebuah bank Islam sepenuhnya, kami bukan sahaja komited dalam menawarkan produk serta perkhidmatan patuh syariah, tetapi kami juga komited terhadap kesejahteraan masyarakat terutamanya dalam pembangunan pembelajaran.

image is not available
Datuk Nor Azam M Taib ketika berucap pada majlis pelancaran EduFin-i di Menara MBSB Bank, Petaling Jaya, Selangor pada 3 Ogos 2023.

"Kami akui bahawa pendidikan tertiari mewujudkan kebolehpasaran yang lebih tinggi dalam kalangan para graduan manakala kepada golongan yang sudah berkerjaya, pembelajaran berterusan menjadikan mereka lebih berdaya saing dalam peningkatan karier," katanya dalam kenyataan media di sini.

Menurut Nor Azam, sehubungan dengan itu, pihaknya yakin pelancaran EduFin-i akan diterima baik kumpulan sasar kerana ia meringankan komitmen kewangan yang perlu ditanggung apabila melanjutkan pelajaran ke peringkat tinggi.

Katanya, proses permohonan yang efisien dan pengeluaran yang cepat untuk menyediakan sokongan kewangan yang tepat pada masanya, akan membolehkan para pelajar menumpukan perhatian kepada program pendidikan yang diingini tanpa sebarang penangguhan.

image is not available

Terdahulu, majlis pelancaran itu dihadiri wakil utama dari Management Science University (MSU), MAHSA University, Universiti Teknologi MARA (UiTM), Universiti Malaya Centre for Continuing Education (UMCCed), International Medical Universiti, Brickfields Asia College (BAC), ADMAL Aviation College, BATS Aviation, Malaysia Airlines Engineering Academy, Aero Malaysian Engineering Centre (AMEC), Malaysian Flying Academy, Layang Layang Academy, UTMSPACE, KLIA College, KPJ College, Penang Dental College dan lain-lain lagi.

Sementara itu, organisasi lain yang turut hadir termasuk Yayasan Angkasa, Global-i Exceed Management Sdn Bhd dan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).

Orang ramai boleh mengetahui lebih lanjut mengenai EduFin-i oleh MBSB Bank dengan melayari www.mbsbbank.com dan boleh memohon di semua cawangan MBSB Bank di seluruh negara. - DagangNews.com