liza08/09/2026 - 09:50 Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com KUALA LUMPUR 8 Sept – Gas Malaysia Berhad berpotensi mencatat peningkatan pendapatan sekitar 8% sekiranya projek terminal regasifikasi gas asli cecair (LNG) di Yan, Kedah (RGT Yan) berjaya mendapat kelulusan penuh dan dilaksanakan, menurut MBSB Research.
Firma penyelidikan itu berkata, projek sama turut berpotensi meningkatkan hasil Petronas Gas Berhad sekitar 3%, sekali gus membuka ruang kepada sumbangan positif terhadap pendapatan kedua-dua syarikat dalam jangka masa panjang.
Bagaimanapun, potensi itu hanya dapat direalisasikan sekiranya projek berkenaan mencapai Keputusan Pelaburan Muktamad (FID) serta memperoleh semua kelulusan yang diperlukan sebelum memasuki peringkat pelaksanaan komersial.
Gas Malaysia dijangka raih margin bersih 4%-6%
Menurut MBSB Research, Gas Malaysia dijangka mencatat margin keuntungan bersih sekitar 4% hingga 6% daripada projek itu, berdasarkan kadar keuntungan jualan gas yang dikawal selia.
“Ini bermakna, sekiranya RGT Yan berjaya direalisasikan, projek tersebut bukan sahaja berpotensi menambah hasil Gas Malaysia, malah turut menyumbang kepada keuntungan kumpulan dalam tempoh jangka panjang.
“Bagi Petronas Gas pula, projek berkenaan berpotensi memberi sumbangan lebih ketara kepada margin perniagaan regasifikasinya dan kami menganggarkan sumbangan sekitar 20% hingga 25%,” kata MBSB Research dalam nota kajiannya.
Menurut firma itu, perniagaan penghantaran gas Petronas Gas mempunyai keupayaan menjana keuntungan yang lebih tinggi apabila penggunaan infrastrukturnya meningkat dan faktor itu menjadikan projek RGT Yan sebagai pemangkin pertumbuhan jangka panjang.
Kepakaran Petronas Gas sokong kebolehlaksanaan projek
MBSB Research berkata, Petronas Gas akan mengetuai kajian tersebut termasuk penilaian teknikal seperti simulasi aliran gas, tinjauan tapak, kajian kejuruteraan, penyiasatan tanah serta reka bentuk kejuruteraan awal.
Gas Malaysia pula akan membekalkan data penting berkaitan permintaan gas, termasuk jumlah penggunaan gas dan unjuran permintaan daripada hab gas serantau yang berkaitan.
Bagi Gas Malaysia, kajian itu juga memenuhi keperluan yang ditetapkan Suruhanjaya Tenaga menerusi Surat Kebenaran Untuk Meneruskan (LTP), yang membolehkan syarikat meneruskan RGT Yan ke peringkat penyerahan permohonan penuh.
ARTIKEL BERKAITAN: LNG Yan dirancang masuk sistem PGU, Gas Malaysia dan Petronas Gas mulakan kajian
Pada masa sama, sambungan saluran paip yang dicadangkan akan menghubungkan RGT Yan secara terus dengan rangkaian saluran paip dengan Projek Penggunaan Gas di Semenanjung (PGU) milik Petronas Gas yang membolehkan infrastruktur sedia ada dimanfaatkan sekiranya projek diluluskan.
Risiko kelewatan, kos lebih tinggi
Bagaimanapun, MBSB Research mengingatkan bahawa kajian kebolehlaksanaan yang sedang dijalankan tidak menjamin RGT Yan akan diteruskan sehingga peringkat komersial.
Antara risiko yang dikenal pasti termasuk kemungkinan kajian mendapati projek berkenaan tidak berdaya maju, selain risiko kos meningkat sekiranya penilaian teknikal menemui masalah yang tidak dijangka.
Kelewatan mendapatkan kelulusan kawal selia dan pelepasan tanah bagi laluan saluran paip turut berpotensi menjejaskan garis masa projek.
Dari segi komitmen kewangan, MBSB Research berkata Gas Malaysia mempunyai komitmen melalui jaminan bank secara berperingkat sehingga kira-kira RM7 juta, dengan nisbah maksimum transaksi berkenaan hanya 0.45%.
Firma itu mengekalkan unjuran pendapatan bagi kedua-dua syarikat buat masa ini kerana kerjasama tersebut masih berada pada peringkat kajian dan belum memberi kesan kewangan material dalam tempoh terdekat hingga sederhana.
“Oleh itu, kami mengekalkan penarafan Neutral terhadap Gas Malaysia dengan harga sasaran RM5.54 sesaham, manakala Petronas Gas kekal pada penarafan Beli dengan harga sasaran RM19.25 sesaham,” katanya. - DagangNews.com




