liza08/09/2026 - 17:14 Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com KUALA LUMPUR 8 Sept – NCT Alliance Bhd melancarkan Fasa 2 Taman Perindustrian Pintar NCT di Sepang, Selangor dengan nilai pembangunan kasar (GDV) sebanyak RM2.5 bilion.
Fasa 2 yang meliputi kawasan seluas kira-kira 93.11 hektar (230.13 ekar) itu menawarkan sebanyak 241 unit hartanah industri merangkumi pelbagai jenis kilang termasuk kilang berkembar, kilang berkelompok dan kilang teres, selain tanah industri.
NCT Alliance berkata butiran mengenai keluasan binaan dan harga bagi unit yang ditawarkan akan diumumkan kemudian.
Fasa 2 Taman Perindustrian Pintar NCT mula dibangunkan pada November tahun lalu dan merupakan sebahagian daripada keseluruhan pembangunan taman perindustrian itu yang akan dilaksanakan dalam enam fasa.
Fasa 3 akan menawarkan lebih banyak pembangunan industri, manakala Fasa 4 dan Fasa 5 akan memperkenalkan komponen komersial seperti stesen minyak dan deretan kedai.
Projek Enam Fasa
Fasa 6 pula merupakan fasa terakhir yang akan diintegrasikan dengan pembangunan keseluruhan bagi melengkapkan ekosistem taman perindustrian berkenaan menjadikan keseluruhan Taman Perindustrian Pintar NCT mempunyai nilai pembangunan kasar sebanyak RM10.2 bilion.
Fasa 1 yang meliputi kawasan seluas kira-kira 93.10 hektar (230.09 ekar) merangkumi 280 unit kilang sesebuah, kilang berkembar, kilang berkelompok dan kilang teres, dengan kira-kira 90% daripada unit berkenaan telah ditempah pembeli.
Pada majlis pelancaran Fasa 2 hari ini, NCT Alliance turut menyerahkan kunci kepada pembeli unit Fasa 1.
Pengarah Eksekutif NCT Alliance, Yap Chun Theng berkata pembeli Fasa 1 terdiri daripada syarikat dalam pelbagai sektor termasuk teknologi, pembuatan, automotif, hospitaliti, industri berkaitan alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG), serta perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

Beliau berkata pembangunan Taman Perindustrian Pintar NCT dirangka bagi menyokong hala tuju Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030), yang mendorong sektor pembuatan ke arah aktiviti bernilai lebih tinggi, pendigitalan dan penggunaan kilang pintar.
Menurutnya, konsep taman perindustrian itu turut berkembang melangkaui model taman perindustrian hijau konvensional kerana ia direka untuk memenuhi keperluan masa depan.
“Evolusi ini bergerak daripada taman perindustrian dengan ekosistem industri hijau pintar kepada ekosistem perindustrian terurus dan akhirnya kepada model taman perindustrian terurus Malaysia untuk dunia,” katanya.
Model Taman Perindustrian Terurus
Sementara itu, Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari yang merasmikan pelancaran Fasa 2 serta menyerahkan kunci kepada pembeli Fasa 1 berkata Taman Perindustrian Pintar NCT memainkan peranan penting dalam Wilayah Pembangunan Bersepadu Selatan Selangor (IDRISS) dan pertumbuhan sektor perindustrian negeri itu.
Beliau berkata perkembangan projek berkenaan diharap dapat menarik lebih banyak pelaburan bernilai tinggi serta mewujudkan peluang pekerjaan berkualiti yang menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi jangka panjang Selangor.
Dalam majlis sama, NCT Alliance menerima Perjanjian Perkhidmatan Utama daripada Majlis Perbandaran Kuala Langat bagi melaksanakan model Taman Perindustrian Terurus di Taman Perindustrian Pintar NCT.
Melalui model itu, Taman Perindustrian Pintar NCT menggabungkan pengurusan taman secara berpusat, keselamatan dan perkhidmatan digital bagi menyediakan persekitaran operasi yang lebih cekap kepada syarikat yang beroperasi di kawasan berkenaan.
Antara kemudahan digital yang disediakan ialah aplikasi NCT G, iaitu platform khusus yang menghubungkan penyewa dengan pihak pengurusan taman bagi memudahkan urusan serta penyampaian perkhidmatan. - DagangNews.com






